Pelakon Ini Hanya Minum Air & Makan Garam Demi Tampil Langsing Pada Majlis Anugerah!

Pelakon Ini Hanya Minum Air & Makan Garam Demi Tampil Langsing Pada Majlis Anugerah!

Sejauh mana pelakon sanggup pergi demi kelihatan cantik ketika diundang menghadiri acara gemilang?

Dalam episod terbaharu The Queen of Insight Kim Nam Joo, penonton disajikan dengan sisi kehidupan para pelakon wanita yang sanggup melakukan apa sahaja demi tampil ramping di acara penuh glamor.

Pelakon popular, Kim Nam Joo mengakui yang walaupun mereka sering dilihat menjaga penampilan, ketika tidak sibuk dengan penggambaran drama atau filem, mereka juga makan dengan kuantiti yang banyak.

Pengakuan itu segera disokong rakan artis, Kim Ok Vin, yang mendedahkan bahawa dirinya turut makan daging dalam jumlah banyak untuk mengawal rasa lapar.

Kedua-duanya malah sempat berkongsi tip menggunakan sos rendah kalori seperti Sriracha untuk membantu mengekalkan bentuk badan.

“Kalau saya tak makan daging, saya cepat lapar. Jadi, sekurang-kurangnya sekali sehari saya akan makan ayam, daging lembu atau daging khinzir, bergilir-gilir.

“Cara masak pun ringkas saja iaitu grill dengan minyak zaitun dan garam, tanpa sebarang perasa. Kalau teringin sangat, saya akan cicah dengan sos rendah kalori,” jelas Ok Vin.

Namun begitu, ada masanya para pelakon ini terpaksa berkorban dengan diet melampau. Ok Vin mengejutkan penonton apabila menceritakan pengalamannya menjalani diet ekstrem semata-mata untuk mengenakan sehelai gaun untuk menghadiri sebuah majlis anugerah.

“Pernah satu ketika, saya hanya minum air dan garam selama dua minggu untuk pastikan gaun majlis anugerah itu boleh dipakai. Sebelum itu, saya makan sesuka hati dan benar-benar menikmati hidup. Tapi bila tiba acara penting, saya kena kawal ketat. Tak ada cara lain,” katanya lagi.

Pengakuan itu mengejutkan penonton, namun pada masa sama mereka memuji tahap disiplin dan ketabahan para pelakon dalam memastikan imej yang ditampilkan sentiasa sempurna di mata khalayak.

Related post

Leave a Reply