Pekerja Kilang Gigit Hujung Jari Rakan Hingga Putus Gara-Gara Dituduh Mengumpat
Seorang wanita warga China yang bekerja di sebuah kilang di Singapura mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke, dengan menggigit jari hantu rakannya sehingga putus.
Menurut laporan CNA, tertuduh yang dikenali sebagai Li Yali, merupakan seorang pekerja kilang. Pada 11 Julai lalu, dia bersama seorang rakan sekerjanya sedang cuba untuk memohon pekerjaan di syarikat lain.
Ketika rakan sekerjanya itu sedang berbual dengan sekumpulan pekerja lain, Li tiba-tiba meluru ke arahnya dan mula memaki hamun kerana menyangka rakan sekerjanya itu sedang mengumpat tentang dirinya.
Selepas berlaku pertengkaran mulut yang melibatkan penghinaan dan kata-kata kesat, Li bertindak menarik rambut rakan sekerjanya itu dan mencakar mukanya sehingga berdarah. Keesokan paginya, rakan sekerja tersebut bersemuka dengan Li mengenai kejadian malam sebelumnya, yang kemudiannya mencetuskan satu lagi pergaduhan.
Di tengah-tengah pergelutan tersebut, Li telah mengigit hujung jari hantu rakan sekerjanya itu sehingga putus, sehingga menyebabkan isi dan tulang jari terdedah. Pemeriksaan perubatan mendapati, walaupun hujung jari putus, dia masih boleh menggerakkan sendi jari yang berbaki dan tidak hilang deria rasa pada tangan kirinya.
Mangsa dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital di mana dia diberikan antibiotik, ubat tahan sakit, dan suntikan kancing gigi. Selain itu, mangsa juga terpaksa menjalani pembedahan, termasuk pemendekan tulang dan pemasangan kuku tiruan. Dia diberikan cuti sakit selama 46 hari dan 19 hari tugasan ringan.
Di mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Quek Lu Yi memohon hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga empat bulan terhadap Li, dengan menyatakan bahawa tindakannya menyebabkan kecederaan sederhana.
Bagaimanapun, Hakim Daerah Vince Gui tidak bersetuju dan berpendapat bahawa kecederaan tersebut harus dianggap parah kerana kehilangan anggota badan adalah bersifat kekal.
Beliau juga bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa tindakan menggigit adalah bentuk serangan yang lebih serius kerana ia membawa risiko jangkitan penyakit.
Semasa bercakap kepada hakim, Li menyatakan bahawa dia tidak biasa dengan undang-undang Singapura dan akan menerima apa sahaja keputusan mahkamah.
Namun, sebaik sahaja dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan dua minggu, Li menukar nadanya dan menyatakan hasrat untuk membuat rayuan kerana menyangka dia hanya akan dikenakan denda.
