Pekerja Dipecat Kerana Kerap Datang Terlalu Awal Ke Pejabat
Seorang wanita di Sepanyol telah dipecat kerana tabiat yang mungkin dianggap terpuji oleh kebanyakan majikan, iaitu sentiasa datang terlalu awal untuk syif kerjanya.
Sejak dua tahun lalu, pekerja wanita berusia 22 tahun itu tiba di pejabat antara pukul 6:45 pagi hingga 7 pagi, 40 minit lebih awal daripada waktu mula bekerja iaitu 7:30 pagi.
Walaupun telah berkali-kali diarahkan supaya berhenti berbuat demikian, wanita itu masih tetap melakukan hal serupa.
Majikannya menjelaskan yang pekerja itu tidak dibenarkan untuk ‘punch in’ atau memulakan kerja lebih awal, namun dia terus datang awal tanpa sebarang tugas untuk dilakukan.
Selepas beberapa amaran lisan dan bertulis, majikan akhirnya memecat pekerja tersebut atas kesalahan serius.
Alasan pemecatan adalah disebabkan ketibaannya yang terlalu awal bukan sahaja tidak menyumbang kepada syarikat, malah menunjukkan dia mengabaikan arahan.
Wanita itu merayu di Mahkamah Sosial Alicante di Sepanyol dan menegaskan bahawa tindakan majikannya tidak berasas.
Begitupun, hakim diberitahu yang wanita berkenaan terus menerus melakukan rutin sama, mencatat 19 lagi ketibaan awal, malah pada beberapa hari cuba log masuk melalui aplikasi syarikat sebelum tiba di pejabat.
Majikannya juga menuduh wanita itu melanggar amanah dalam satu insiden berasingan, iaitu menjual bateri kereta syarikat yang sudah digunakan tanpa kebenaran, sesuatu yang dianggap mahkamah sebagai sebahagian daripada corak ketidaksetiaan yang lebih besar.
Mahkamah kemudian memihak kepada syarikat, menekankan bahawa isu tersebut bukanlah kerana wanita itu terlalu menepati masa, tetapi keengganannya mematuhi peraturan tempat kerja.
Tingkah lakunya dianggap sebagai pelanggaran serius di bawah Perkara 54 Statut Pekerja Sepanyol, kata hakim.
Wanita itu masih boleh membuat rayuan ke Mahkamah Agung Valencia, namun setakat ini, keputusan tersebut kekal.
