Park Bom Tangguh Aktiviti Bersama 2NE1

Salah seorang anggota kumpulan 2NE1, Park Bom mengambil keputusan untuk menangguhkan segala aktiviti yang melibatkan dirinya bersama kumpulan berkenaan.

Hal tersebut dikhabarkan menerusi kenyataan agensi yang dinaungi Park Bom, D-Nation baru-baru ini.

Menerusi kenyataan berkenaan, Park Bom dikatakan perlu berehat selepas mendapat nasihat daripada doktor.

“Kami ingin memaklumkan Park Bom tidak dapat menyertai jadual aktiviti 2NE1 pada masa akan datang.

“Kami amat sedih untuk berkongsi berita ini, memandangkan ramai peminat telah memberi sokongan padu terhadap promosi penuh kumpulan 2NE1.

“Baru-baru ini, kami menerima nasihat perubatan yang menyarankan agar Park Bom berehat secukupnya dan diberikan kestabilan emosi. Selepas pertimbangan yang teliti, keputusan ini telah dibuat,” tulis kenyataan itu.

Dalam masa sama, pihak D-Nation memohon agar sentiasa memberi sokongan penuh terhadap Park Bom sepanjang tempoh pemulihan.

“Kami memohon agar anda terus memberikan sokongan dan dorongan kepada Park Bom sepanjang tempoh pemulihannya.

“Kami juga menghargai sokongan berterusan anda terhadap Sandara Park, CL dan Minzy, untuk melakukan yang terbaik agar ketiadaan Park Bom tidak begitu dirasai. Terima kasih,” tulis kenyataan itu lagi.

Related post

Leave a Reply