Park Bom Nak Saman Orang Kuat YG Entertainment
Penyanyi dan anggota kumpulan 2NE1, Park Bom dilaporkan telah memfailkan saman terhadap penerbit eksekutif YG Entertainment, Yang Hyun Suk, sekaligus mengejutkan orang ramai dan juga agensinya sendiri.
Dalam satu temubual telefon pada 22 Oktober, wakil daripada D-Nation Entertainment, agensi Park Bom, mendedahkan apa yang berlaku merupakan di luar kawalan mereka.
“Park Bom kini berada di luar kawalan kami. Kami sedang meneliti butiran mengenai saman beliau terhadap Yang Hyun Suk,” ujar D-Nation Entertainment.
Menerusi hantaran Instagram, Park Bom mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila mendedahkan di akaun Instagramnya yang dia telah memfailkan aduan terhadap Yang Hyun Suk.
“Kepada rakyat Korea, siasatlah apa yang YG Entertainment lakukan kepada Park Bom, seperti apa yang berlaku,” tulis Park Bom sambil melampirkan imej dokumen aduan rasmi tersebut.
Menurut dokumen itu, Park Bom menuduh Yang Hyun Suk melakukan penipuan dan penggelapan wang, mendakwa lelaki itu gagal membayar keuntungan yang sepatutnya diterima berjumlah USD 4.5 kuadrilion (RM19 kuadrilion).
Park Bom menyatakan yang dia mengalami kerugian kewangan serta tekanan psikologi yang besar, dan menegaskan bahawa kes tersebut merupakan salah laku jenayah jelas. Aduan itu difahamkan telah difailkan pada 19 Oktober.
Park Bom sebelum ini aktif menyertai jelajah reunion bersama ahli-ahli 2NE1 lain. Namun dia kini berada dalam tempoh hiatus kerana masalah kesihatan mental.
