Pempengaruh dan bekas peserta Hero Remaja, Jay Song akhirnya bersuara rentetan kecaman yang diterima gara-gara berpakaian seperti G-Dragon ketika konsert rapper popular diadakan di Axiata Arena Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi sepotong video yang dimuat naik, Jay menjelaskan yang tujuan dia berpakaian sedemikian adalah semata-mata kerana terinspirasi daripada prank yang dilakukan oleh pempengaruh dan pencipta kandungan antarabangsa.
Menurut Jay, dia pernah melakukan prank yang sama ketika BLACKPINK hadir ke Malaysia bagi menjayakan konsert mereka beberapa tahun lalu.
“Saya suka menyahut cabaran baharu dan mencuba idea kreatif.
“Ketika saya buat perkara yang sama suatu ketika dahulu, peminat memberikan respons yang baik. Mereka meyakinkan saya untuk mencuba buat kali kedua,” katanya.
Menerusi prank berkenaan, Jay mengenakan jaket berwarna kuning, lengkap dengan skarf yang menutup kepalanya, persis G-Dragon.
Disebabkan itu, ketika dia turun daripada kenderaan dengan berpakaian demikian, ramai peminat terkejut dan menjerit, menyangkakan G-Dragon yang sebenar tiba di lokasi konsert berkenaan.
Momen tersebut viral di media sosial, sehingga menyebabkan ada segelintir peminat menzahirkan rasa marah terhadap Jay.
Menerusi video sama, Jay berkata: “Sejujurnya, saya tidak jangka situasi menjadi tidak terkawal. Saya memohon maaf kepada mereka yang terkesan,” katanya sambil mengakui akan lebih berjaga-jaga pada masa akan datang.