“Orang Positif Tiada Masa Nak Gosip & Jatuhkan Orang Lain”

“Orang Positif Tiada Masa Nak Gosip & Jatuhkan Orang Lain”

Penyanyi, Shiha Zikir, 38, meluahkan rasa hairan terhadap sikap segelintir individu yang lantang mengkritik di media sosial, namun memilih untuk bersembunyi di sebalik akaun palsu.

Shiha mempersoalkan keberanian golongan tersebut yang hanya berani melontarkan kecaman dari belakang skrin, tanpa menampilkan wajah atau nama sebenar.

“Kenapa kebanyakannya yang ‘mengondem’ ini selalunya tak ada gambar profil atau guna akaun palsu? Orang-orang negatif ini memang berani di ‘belakang’ sahaja ke?” tulisnya menerusi hantaran di platform Threads.

Dalam perkongsian sama, pelantun lagu Irama itu turut berkongsi pemerhatiannya mengenai perbezaan ketara antara individu yang membawa aura positif dan mereka yang gemar menabur negativiti.

Menurut Shiha, golongan yang berfikiran positif lazimnya tidak mempunyai masa untuk menjatuhkan atau memperlekehkan orang lain.

Sebaliknya, mereka memilih untuk menyebarkan kata-kata yang membina, memberi sokongan dan mendoakan kebaikan.

“Apa yang saya sedar, orang yang positif tak ada masa nak mengondem, gosip atau jatuhkan orang lain. Mereka lebih suka beri kata-kata semangat, doakan yang baik-baik dan tak sibuk cerita keburukan orang lain,” katanya lagi.

Tambah Shiha, cara seseorang bertutur dan menulis di media sosial sebenarnya menjadi cerminan peribadi serta nilai diri.

“Fahamilah nak masuk kategori apa, sebab apa yang kita cakap atau tulis itu sebenarnya melambangkan diri sendiri,” ujarnya lagi.

Related post

Leave a Reply