Ocot Dah Hilang Tiga Hari, Intan Najuwa Sedia Beri Ganjaran Jika Ditemui
Kucing kesayangan peliharaan pelakon Datin Intan Najuwa, 28, dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu, lantas membuatkan dia tampil merayu bantuan orang ramai.
Pemilik nama penuh Intan Najuwa Abdul Wahid meluahkan perasaan sedih dan buntu kerana haiwan peliharaannya itu masih belum pulang ke rumah.
“Saya sudah dua malam menangis. Kucing saya tidak balik rumah selama dua hari,” luahnya dalam hantaran di Threads.
Dalam usaha menemukan semula kucing berkenaan, Intan turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga membawa kepada penemuan haiwan tersebut.
“Kalau ada yang ternampak kucing saya di luar, tolong hubungi saya. Saya akan beri ganjaran. Kawasan sekitar Taman U-Thant,” katanya lagi.
Menurut Intan, dia tidak pasti ke mana arah kucing tersebut pergi dan berharap orang ramai yang terserempak dengan kucing bernama Ocot itu dapat menghubunginya segera.
“Jika ada yang nampak Ocot, mohon DM saya. Saya sangat menghargai bantuan anda semua,” tambahnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang turut mendoakan agar kucing kesayangan pelakon berkenaan segera ditemui dengan selamat.
