Nora Danish Enggan Ulas Hantaran Berbentuk Sindiran Dibuat Bekas Suami

Nora Danish Enggan Ulas Hantaran Berbentuk Sindiran Dibuat Bekas Suami

Pelakon Nora Danish, 42, enggan mengulas panjang mengenai spekulasi kononnya dia adalah individu yang dimaksudkan dalam hantaran berbaur sindiran dibuat oleh bekas suami, Nedim Nazri di Threads, baru-baru ini.

Menurut Nora, walaupun kini mereka sudah tidak lagi bergelar suami isteri, dia tetap menghormati Nedim serta enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menimbulkan sebarang salah faham.

“Hubungan saya dengan Nedim okay, jadi saya tak nak komen panjang. Saya tak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini, tambahan pula kami sudah tidak bersama.

“Saya hormati hak dan privasi dia dan apa yang dikongsinya itu tiada kena-mengena dengan saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Nora berkata dia tidak menyedari tentang hantaran yang dimuat naik Nedim di media sosial kerana sedang sibuk menguruskan perniagaannya.

“Saya tak baca pun ciapan yang dibuat sebab sekarang saya fokus pada restoran saya. Saya pun tak rasa ciapan itu ditujukan kepada saya sebab hubungan kami masih baik,” ujarnya lagi.

Tambah aktres itu, dia mahu mengekalkan hubungan harmoni dengan semua pihak demi membesarkan anak mereka dengan cara yang sihat.

“Saya sentiasa mengharapkan hubungan yang baik-baik dengan semua orang. Dari dulu lagi, saya memang tekankan soal hubungan baik sebab bagi saya, itu penting untuk kesejahteraan anak,” katanya.

Terdahulu, Nedim atau lebih dikenali sebagai Boss Ned mencuri perhatian netizen apabila memuat naik hantaran di Threads yang dipercayai ditujukan kepada seseorang, dengan nada marah berkaitan isu anak.

Dalam hantaran sama, Nedim turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mengagumi seseorang secara berlebihan dan menegaskan agar tidak mencampuri urusan keluarganya.

Related post

Leave a Reply