NewJeans Dikhabarkan Tak Boleh Teruskan Aktiviti Seni Hingga 2029
Satu laporan baharu mendedahkan bahawa NewJeans tidak akan dapat menjalankan aktiviti promosi secara bebas sehingga tahun 2029 selepas kekalahan mereka dalam kes mahkamah baru-baru ini.
Berita itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai pertikaian berterusan antara kumpulan berkenaan dan agensi mereka ADOR, termasuk netizen Korea yang tidak dapat menahan diri daripada berkongsi pandangan jujur mereka.
Baru-baru ini, mahkamah telah membuat keputusan menolak permohonan ahli kumpulan untuk menamatkan kontrak eksklusif mereka, yang secara efektifnya menghalang mereka daripada melakukan aktiviti bebas selama beberapa tahun akan datang.
Keputusan itu hadir selepas beberapa bulan perbincangan dan perbalahan antara pihak NewJeans dan anak syarikat HYBE tersebut.
Menurut laporan MBN News, kumpulan itu tidak akan dapat mempromosikan sebarang aktiviti sehingga tahun 2029.
Berita itu mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan peminat dan netizen yang bimbang momentum kumpulan tersebut mungkin akan pudar selepas tempoh rehat yang begitu lama.
NewJeans, yang debut pada tahun 2022 dan dengan pantas menjadi salah satu kumpulan wanita paling berjaya dalam K-Pop kini berdepan masa depan yang tidak menentu sama ada mereka mampu kembali dengan impak yang sama seperti dahulu.
Sekelompok netizen percaya ahli-ahli kumpulan itu terlalu berbakat untuk hilang begitu sahaja, manakala yang lain berpendapat adalah lebih baik jika mereka kembali ke ADOR dan menyambung aktiviti kumpulan, daripada terus memanjangkan pertikaian undang-undang itu.
Antara komen netizen:
“Empat tahun itu lama… idol lelaki pun susah bila hilang dua tahun sebab wajib tentera, jadi untuk kumpulan wanita, empat tahun terasa sangat lama.”
“Kalau kes ini naik ke Mahkamah Agung, boleh makan masa 8 hingga 10 tahun?! Dalam industri idol, apa maknanya hiatus 8 tahun? Lebih baik kembali dan sambung aktiviti cepat-cepat.”
“Kerjaya idol mereka dah berakhir.”
“Tapi jujur, saya rasa saya tetap akan dengar lagu mereka kalau mereka keluarkan sesuatu nanti.”
“Macam mana boleh jadi begini…”
Perkembangan mengejutkan ini membuatkan peminat kini menunggu penuh debar untuk melihat bagaimana ahli NewJeans dan pihak ADOR akan melangkah ke hadapan selepas ini.
