Neelofa & PU Riz Jawab Isu Harga Tiket Program Ilmu Mahal
Pasangan selebriti, Noor Neelofa dan suaminya, Haris Ismail tampil menjawab kritikan yang mendakwa harga tiket program ilmu anjuran mereka terlalu mahal.
Pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd Noor, menegaskan bahawa yuran penyertaan yang dikenakan selaras dengan pengalaman premium yang disediakan kepada peserta.
“Mereka yang hadir sendiri tahu nilai yang mereka peroleh. Program ini diadakan di hotel bertaraf lima bintang, makanan yang dihidangkan berkualiti tinggi, beg cenderamata disediakan dengan penuh meriah.
“Ditambah pula dengan kandungan pengisian yang mendalam. Alhamdulillah, sehingga kini belum ada yang datang mengadu rasa tidak berbaloi,” katanya.
Sementara itu, Haris atau mesra disapa PU Riz, pula menjelaskan bahawa mereka berusaha membawa konsep ceramah ke satu dimensi baharu.
“Kita biasa dengar ceramah di masjid atau institusi pendidikan, tetapi kali ini kami mahu memberikan pengalaman yang lebih eksklusif.
“Tidak ada paksaan untuk hadir. Jika ada yang merasakan harga itu tinggi, bolehlah dinilai daripada aspek apa yang menjadikannya begitu.
“Kami juga menjemput rakan-rakan selebriti seperti Nora Danish, Datin Fouziah Gous dan Kila Fairy untuk berkongsi pengalaman mereka secara lebih intim,” jelasnya.
Tambah Haris lagi, tiada salahnya bagi seseorang melabur untuk menghadiri sesi ilmu yang selesa, sama seperti ada yang sanggup membayar ratusan atau ribuan ringgit untuk menonton konsert.
Bapa dua anak itu turut berkongsi bahawa pihaknya merancang memperluaskan penganjuran kepada golongan pertengahan agar lebih ramai mampu menyertainya.
“Kami memang merangka program khusus buat kelompok tersebut. Jika semuanya berjalan lancar, ia dijangka berlangsung pada 31 Januari tahun depan. Harap-harap mereka yang berminat dapat hadir,” katanya.
Terdahulu, segelintir netizen mempersoalkan harga penganjuran majlis ilmu itu yang dikatakan sekitar RM850 dan dianggap tidak wajar oleh sebahagian netizen.
