Neelofa Kagum Anak Sulung Hafal Doa Masuk Tandas Pada Usia 3 Tahun

Neelofa Kagum Anak Sulung Hafal Doa Masuk Tandas Pada Usia 3 Tahun

Selebriti popular Neelofa, 36, tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap keupayaan anak sulungnya, Muhammad Bilal yang sudah mampu menghafal doa-doa harian pada usia sekecil tiga tahun.

Pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor, mengakui perkara itu benar-benar menyentuh hatinya dan membuatkan dia sendiri terdorong untuk memperbaiki diri dalam menghafal doa.

“Bila dua tahun, nampak impak (produk) Mommy Hana secara keseluruhan pada Bilal apabila dia semakin pandai baca doa-doa harian.

“Saya tak hafal doa masuk tandas tapi anak saya boleh baca. Satu tamparan hebat tau selepas itu saya hafal doa-doa harian.

“Kalau anak hafal, takkan aku mak tak hafal. Berkat momen itu saya mula hafal doa-doa harian dan amalkan sehingga hari ini,” katanya dalam sebuah hantaran di TikTok.

Kata isteri kepada pendakwah, Haris Ismail itu lagi, pengalaman melihat sendiri anaknya menyambung bacaan zikir merupakan antara momen paling manis dalam kehidupannya sebagai seorang ibu.

“Momen paling indah dalam hidup saya sebagai ibu bila pertama kali anak saya boleh sambung selawat. Melompat-lompat gembira.

“Ada satu hari saya suap dia makan dan selalu saya bacakan subhanallah walhamdulillah, dia sambung.

“Saya tergamam dan panggil Haris suruh dengan apa dia cakap. Kalau boleh rakam momen itu dan tengok balik pasti sentiasa menyentuh hati saya, rasa sejuk serta lapang,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, kecerdasan Bilal pernah mencuri perhatian ramai apabila videonya membaca surah al-Fatihah tular di media sosial, sekali gus membuatkan ramai kagum dengan didikan awal yang diterapkan oleh pasangan Neelofa dan Haris.

Untuk info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan kini memiliki dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas, masing-masing berusia tiga dan dua tahun.

Related post

Leave a Reply