Namewee Nafi Tuduhan Terlibat Dalam Kematian Influencer Taiwan
Artis kontroversi Namewee, tampil bersuara selepas dikaitkan dengan kematian mengejut seorang influencer Taiwan dan bekas jururawat yang dikenali sebagai Nurse Goddess, sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau terlibat dengan dadah atau membekalkan bahan terlarang kepada mendiang.
Penyanyi berusia 41 tahun itu memuat naik satu kenyataan di Instagram bagi menjawab khabar angin yang timbul selepas media Taiwan melaporkan bahawa influencer tersebut meninggal dunia di Malaysia.
Dalam hantaran itu, Namewee berkata beliau berasa amat kecewa dan marah selepas melihat tajuk berita yang mengaitkan namanya dengan kes tersebut.
Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengambil atau memiliki dadah, dan perkara paling “teruk” yang dilakukannya kebelakangan ini hanyalah minum sedikit minuman keras.

“Percayalah jika mahu. Jika tidak mahu percaya, terpulang. Kebenaran akan terbukti apabila polis mengeluarkan laporan mereka, mungkin dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya.
Namewee menjelaskan bahawa beliau tidak memberi sebarang respons lebih awal kerana kes itu masih dalam siasatan dan pihaknya telah dinasihatkan untuk tidak mengulas sebarang perkara berkaitan.
Beliau turut mendakwa bahawa dalam beberapa hari kebelakangan ini, dirinya menjadi sasaran individu yang cuba memeras ugut.
“Kalau kamu mahu terus main permainan ini, kita akan lawan sampai habis,” tegasnya.
Selain itu, Namewee turut meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap kematian mengejut influencer berkenaan, serta mempersoalkan kelewatan ambulans yang didakwa mengambil masa lama untuk tiba di tempat kejadian.
Difahamkan, influencer Taiwan Iris Hsieh, yang dikenali ramai sebagai Nurse Goddess, dilaporkan rebah dan meninggal dunia di Malaysia ketika sedang menjalani penggambaran.
