Namewee Kongsi Pengalaman Sepanjang Direman, Luah Kesedihan Lihat Iris Hsieh Mati Depan Mata
Rapper kontroversi, Namewee, akhirnya bersuara mengenai kematian influencer Taiwan, Iris Hsieh, serta dakwaan yang mengaitkannya dalam siasatan kes tersebut.
Namewee dibebaskan dengan jaminan pada 13 November lalu, sembilan hari selepas dia direman.
Dalam satu hantaran di Facebook, Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, menulis yang tempoh reman yang dilalui merupakan tempoh paling lama dia ditahan polis.
“Saya disoal siasat oleh enam kumpulan pegawai polis berbeza, termasuk yang hadir pada hari kejadian dan hari berikutnya.
“Setiap sesi soal siasat berlangsung purata lapan jam, dengan yang paling lama mencecah 15 jam,” katanya.
Dia turut menamakan beberapa unit polis yang terlibat dalam siasatan, termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Biro Narkotik.
“Mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengambil kenyataan saya. Mereka juga menggunakan kaedah teknologi untuk menjalankan siasatan terperinci,” kata Namewee.
Dalam masa sama, dia menambah, polis menjalankan tugas dengan sangat teliti dan memuji profesionalisme mereka.
Namewee kemudian meluahkan rasa sedih mengenai pemergian Hsieh.
“Inilah kali pertama dalam hidup saya seseorang meninggal dunia di depan mata saya. Saya sangat sedih, hilang arah dan terkejut. Saya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya, tetapi sudah terlambat. Imej itu akan kekal dalam ingatan saya selamanya,” luah Namewee
Rapper itu turut menggesa orang ramai agar tidak menilai seseorang berdasarkan jenis kerjaya mereka.
“Hanya kerana dia seorang pencipta kandungan OnlyFans tidak bermaksud dia tidak mencari rezeki dengan cara yang betul.
“Tolong hentikan pembulian siber terhadap mendiang,” ujar Namewee.
Sumber: Facebook
