Namewee Kejutkan Peminat Dengan Lagu Baharu Ketika Dalam Reman
Penyanyi kontroversi Namewee, mengejutkan ramai apabila melancarkan lagu demo baharu semasa dalam tahanan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kematian influencer Taiwan, Hsieh Yu-hsin, yang lebih dikenali sebagai Iris Hsieh.
Namewee dilaporkan hilang selama hampir dua hari sebelum akhirnya menyerahkan diri kepada polis untuk siasatan, yang sebelum itu mencetuskan pencarian besar-besaran di seluruh negara.
Dia kemudian muncul lewat malam dan hadir ke balai polis seperti yang dijadualkan.
Beberapa jam selepas itu, lagu baharunya berjudul Very Shuai (Demo) dimuat naik di platform penstriman muzik, sekali gus mengejutkan para peminat.
‘Very Shuai’ merupakan lagu yang ditulis Namewee 11 tahun lalu untuk kumpulan lelaki lamanya, P-HIGH (屁孩). Melodi lagu tersebut membuatkan sesetengah pendengar teringat kepada lagu-lagu kumpulan terkenal era 90-an, Little Tigers.
Pada hari sama video muzik itu dimuat naik, laporan turut mendedahkan bahawa Namewee berada di lokasi kejadian kematian Iris Hsieh, dan pihak berkuasa kini sedang menyiasat kemungkinan penggunaan dadah di tempat berkenaan.

Terdahulu, Namewee dilihat mengumpulkan semula ahli kumpulan P-HIGH dalam video YouTube berjudul “Major comeback or total fail? Boy band returns after 10 years — Namewee reveals the truth behind the past” yang dimuat naik pada Ahad (2 November).”
Pelancaran mengejut itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam talian dan ada yang berseloroh bahawa dia bukan melarikan diri, sebaliknya sibuk memuat naik lagu baharu.
Seorang pengguna turut berjenaka:
“Dia pastikan lagu keluar dulu sebelum menyerah diri. Memang komited.”
Namun, tidak kurang juga yang mengkritik, dengan komen pedas seperti:
“Rupanya ‘comeback’ dia sendiri yang gagal.”
