Nak Jimat, Pengantin Pakai Kemeja & Seluar Jean
TIDAK seperti pengantin lain, seorang pengantin sanggup dipandang serong oleh keluarga dan rakan-rakan selepas memilih untuk mengenakan seluar jean dan kemeja pada majlis perkahwinannya.
Raja sehari, Amie Barron yang mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Hunter dengan menggayakan pakaian sedondon mengadakan majlis perkahwinan mereka di sebuah perpustakaan awam di Virginia Barat, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Sebab utama pasangan tersebut tidak menyarungkan pakaian pengantin kerana mereka mahu mengurangkan kos dengan membelanjakan hanya kira-kira AS$1,000 (RM4,420) pada majlis itu.
Sementara itu, sebanyak AS$300 (RM1,326) daripada jumlah berkenaan diperuntukkan untuk membeli dua pasang but koboi baharu yang dipakai pada majlis perkahwinan mereka.
Sekitar AS$480 (RM2,122) dibelanjakan untuk upah jurugambar, manakala dandanan rambut serta solekan pengantin perempuan dibuat oleh Amie sendiri.
Difahamkan, sekitar 20 tetamu menghadiri majlis perkahwinan Amie dan Hunter.
Dalam masa sama, pasangan tersebut berjaya berjimat sehingga AS$10,000 dan bercadang membelanjakan wang tersebut bagi tujuan bulan madu.
“Kami telah menerima banyak mesej dan catatan di media sosial daripada orang yang tidak begitu memberikan sokongan dan kami terpaksa ‘kehilangan’ mereka daripada hidup kami,” katanya selepas majlis perkahwinan mereka diadakan.