Naim Daniel Syukur Masih Diberi Ruang Berkarya Walau Berdepan Ujian

Naim Daniel Syukur Masih Diberi Ruang Berkarya Walau Berdepan Ujian

Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 28, tetap positif meskipun terpalit kontroversi kes amang seksual yang sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin, mengakui kehidupannya kini tidak berada dalam fasa terbaik, namun tetap berlapang dada menerima segala ujian.

“Ini bukan perjalanan mudah. Sudah tentu ada beberapa peluang yang saya terlepas. Tapi saya percaya setiap ujian hadir untuk mendewasakan saya.

“Hidup mesti diteruskan, jadi saya sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah,” katanya.

Menurut Naim, ketika ini dirinya lebih banyak memberi tumpuan kepada penghasilan lagu selain memenuhi undangan persembahan yang diterima.

“Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran persembahan, cuma lebih berhati-hati dalam memilih.

“Buat masa ini, saya mahu beri fokus penuh terhadap penulisan kerana itu saluran terbaik untuk saya berkarya.

“Menghasilkan lagu adalah tanggungjawab saya sebagai penyanyi dan anak seni,” jelas pelantun lagu Sumpah itu.

Tambah Naim, sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan individu sekeliling membuatkannya terus kuat untuk melalui fasa mencabar ini.

“Saya pastikan diri sentiasa aktif, kekal cergas dan cukup tidur. Kalau diri sendiri tidak sihat, bagaimana mahu jalani hari dengan baik? Kesihatan penting untuk saya kekalkan fokus,” ungkapnya tenang.

Dalam perkembangan lain, mahkamah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan kes membabitkan Naim.

Pihak pembelaan yang mewakili Naim iaitu Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique memaklumkan akan membuat permohonan bantahan terhadap cadangan perbicaraan secara video link oleh pihak pendakwaan.

Terdahulu, pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 19 Mei.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Related post

Leave a Reply