Walaupun ada yang menganggap melancong ke China merupakan satu hal membosankan, namun, seorang wanita Malaysia membuktikan sebaliknya.
Semuanya gara-gara pengalaman menaiki teksi tanpa pemandu yang mengagumkan di negara berkenaan.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok berkongsi pengalamannya menaiki teksi pandu sendiri di Shenzhen.
Dalam video yang dikongsi, wanita itu menafikan yang melancong ke China bukanlah satu hal yang membosankan.
Malah, katanya, melancong ke negara itu memberi pengalaman terbaik dalam hidupnya apabila dapat mencuba menaiki teksi pandu sendiri.
Dalam ruangan kapsyennya, wanita itu menggambarkan teksi berkenaan sebagai ‘robot taxi’ yang menawarkan harga murah serta kenderaan mewah.
Lebih menarik, kereta yang dinaikinya bukan kereta sembarangan. Ia merupakan sebuah Lexus tanpa pemandu.
Kereta berkenaan dilengkapi skrin elektronik yang memaparkan laluan perjalanan, keadaan jalan secara masa nyata, dan lalu lintas sekeliling.
Difahamkan, perjalanan itu merangkumi jarak sejauh 3.1 kilometer dan hanya menelan kos 21 RMB (RM12.42).
Lebih menguntungkan, terdapat diskaun sebanyak 10.1 RMB, menjadikan tambang jauh lebih murah.
Di ruangan komen, netizen turut terhibur dengan pengalaman tersebut, malah ada yang berseloroh memberikan penarafan 5 bintang kerana ‘pemandu’ diam sahaja sepanjang perjalanan.