Nabila Razali Menyesal Tanya Maksud ‘Kacip’
Berniat hanya ingin tahu, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 32, mengakui sedikit kesal apabila bertanyakan maksud sebenar perkataan ‘kacip’ di media sosial miliknya baru-baru ini.
Menurut pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali, pertanyaan itu dibuat secara jujur kerana dia benar-benar tidak mengetahui maksud di sebalik perkataan berkenaan.
“Sejujurnya saya memang tidak tahu apakah maksud di sebalik perkataan kacip itu, sebab itu saya bertanya.
“Bila saya tahu maksud sebenar, saya terus rasa menyesal,” katanya ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharunya, Balas Baik.
Jelas Nabila lagi, selepas membaca pelbagai penjelasan di ruangan komen, barulah dia memahami konteks sebenar penggunaan perkataan tersebut.
“Kalau ikutkan maksud asal dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kacip bukanlah perkataan yang buruk.
“Tapi dalam konteks media sosial, maksudnya jadi lain dan membawa konotasi tidak baik.
“Saya sangka ia digunakan untuk gurauan semata-mata, rupa-rupanya tidak. Jadi saya nasihatkan, jangan guna perkataan itu,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, ibu satu anak itu turut memohon maaf sekiranya pertanyaannya sebelum ini menimbulkan salah faham atau memberi tanggapan negatif.
“Saya mohon maaf jika pertanyaan saya itu menyebabkan ada yang salah faham atau menyangka perkataan itu boleh digunakan secara umum,” katanya lagi.
Terdahulu, nama Nabila menjadi tumpuan apabila dia memuat naik hantaran di media sosial bertanyakan maksud sebenar perkataan ‘kacip’ yang kini kerap digunakan dalam perbualan netizen.
