Nabila Huda Disahkan Alami ‘Slipped Disc’

Nabila Huda Disahkan Alami ‘Slipped Disc’

Pelakon, Nabila Huda disahkan mengalami masalah cakera tergelincir (slipped disc) pada bahagian L5.

Menurut Nabila, masalah sakit belakang itu sebenarnya pernah dialaminya sebelum ini, namun sudah lama tidak muncul semula.

Namun tanpa diduga, kesakitan tersebut kembali menyerang secara mendadak sejak dua hari lalu sehingga menyukarkan pergerakannya.

“Sebelum ini, saya pernah mempunyai masalah sakit pinggang, namun sudah lama ia tidak berulang.

“Namun, dua hari lalu ketika bangun tidur, sakit tersebut tiba-tiba datang kembali. Kali ini keadaannya lebih serius sehingga dia mengalami kesukaran untuk berdiri,” katanya di Instagram.

Situasi itu membuatkan Nabila berasa cemas memandangkan dia terlibat dalam satu pementasan teater muzikal yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Bimbang akan tahap kecederaan sebenar, dia mengambil langkah segera menjalani pemeriksaan lanjut di hospital termasuk imbasan MRI sebelum menghadiri sesi latihan.

“Bila fikir show dah dekat, memang terus panik. Saya pergi hospital sekadar nak pastikan keadaan, tapi rupanya disahkan slipped disc L5. Memang ‘hadiah’ penutup 2025 yang agak padu,” luahnya.

Nabila tidak menafikan jadual kerja yang padat menjadi antara punca utama masalah kesihatan itu berulang, namun dia mengakui sukar untuk memperlahankan langkah kerana kecintaannya terhadap dunia lakonan.

Walaupun begitu, Nabila memaklumkan dia hanya meminta rawatan sementara termasuk ubat penahan sakit bagi membolehkannya menamatkan empat persembahan yang telah dijadualkan.

Rawatan susulan seperti fisioterapi pula akan dilakukan sepenuhnya selepas pementasan selesai.

Related post

Leave a Reply