Nabil & Sherry Alhadad Gurau Isu Rumah Tangga, Nubhan Tak Ambil Hati
Penyanyi, Ahmad Nubhan, 39, tidak berkecil hati dengan gurauan dua pengacara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, yang menyentuh tentang isu rumah tangganya, baru-baru ini.
Menurut Nubhan, dia tidak mahu mengambil serius perkara tersebut, sebaliknya ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap persembahannya sepanjang menyertai pertandingan itu.
“Lawak itu bukan datang daripada saya. Sama ada ia diterima atau tidak, saya serahkan kepada penonton untuk menilai.
“Bagi saya, fokus sekarang hanyalah untuk menyanyi dengan baik dan mengawal rasa gementar di atas pentas,” katanya.
Bekas peserta Akademi Fantasia itu turut mengakui tidak menyedari gurauan tersebut kerana ketika itu dia berada di belakang pentas dan sedang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan sebelum membuat persembahan.
“Ketika di belakang pentas, fikiran saya kosong dan memang agak gementar. Saya tak tahu pun apa yang berlaku di hadapan, sebab dalam kepala hanya fikir nak sampaikan lagu sebaik mungkin,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nabil dan Sherry sempat berjenaka dengan mengatakan kononnya Nubhan bakal bergelar duda serta sedang mencari pengganti.
Perkara itu sekali gus mencetus perhatian penonton dan netizen di media sosial serta ada yang menyifatkan isu rumah tangga adalah perkara sensitif.
