Penyanyi rap, MK K-Clique mencuri perhatian ramai apabila buat pertama kali mendedahkan wajah puteri sulungnya, Aya Rayana kepada umum semasa menjayakan sebuah konsert di Putrajaya, baru-baru ini.
MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin, 29, mendukung anak perempuannya yang berusia 11 bulan ke atas pentas sejurus selesai mempersembahkan lagu ‘Haa Tepok’.
Tanpa sebarang ucapan, MK terus menyanyikan bait lagu ‘Pulang’ sambil mendukung si kecil itu di hadapan para peminat.
Walaupun berada di atas pentas yang penuh sorotan lampu dan sorakan, Aya Rayana kelihatan tenang berada dalam pelukan bapanya.
Setelah beberapa minit, MK membawa anaknya turun sebelum meneruskan persembahan.
Untuk rekod, MK mendirikan rumah tangga bersama Siti Hajaar pada 16 Jun 2023.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang dilahirkan pada Ogos tahun lalu.