Mimpi Catat Jualan Tertinggi, Haqiem Rusli Terima Pengiktirafan RIM

Mimpi Catat Jualan Tertinggi, Haqiem Rusli Terima Pengiktirafan RIM

Penyanyi Haqiem Rusli mencatatkan sejarah baharu apabila lagu hitsnya berjudul Mimpi dianugerahkan Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan komersial mencapai pendapatan lebih RM100,000 daripada penstriman lagu tersebut di platform digital.

Jumlah pendapatan yang dicapai oleh single Mimpi telah diaudit oleh RIM berdasarkan angka sah dari jumlah muat turun serta strim audio dan video lagu tersebut di platform digital berkenaan. 

Penganugerahan sijil ini menunjukkan tarikan berterusan industri rakaman muzik tempatan dalam kalangan peminat muzik di Malaysia dan rantau ini.

Lagu Mimpi merupakan hasil ciptaan bersama Haqiem Rusli dan penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida, serta diterbitkan oleh FMC Music. 

Single ini dilancarkan dalam format digital pada 15 Disember 2020, manakala video muzik rasminya dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021. 

Selepas pelancarannya, Mimpi dengan pantas telah menduduki tangga teratas carta trending YouTube, meraih hampir satu juta tontonan dalam hanya beberapa hari pertama dari tarikh pelancarannya.

Menurut Pengerusi Persatuan Rakaman Inudstri Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata  RIM sentiasa gembira untuk mengiktiraf artis dan label muzik Malaysia yang berjaya mencapai kejayaan komersial yang membanggakan. 

Haqiem teruja lagi Mimpi menerima pengiktirafan tertinggi daripada RIM setelah lima tahun dilancarkan.

“Pensijilan yang diberikan kepada Mimpi membuktikan penerimaan dan sokongan kukuh terhadap rakaman muzik tempatan, bukan sahaja dari kalangan rakyat Malaysia, bahkan peminat muzik di luar negara. 

“RIM mengucapkan tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas kreativiti serta dedikasi mereka dalam mencapai kejayaan yang membanggakan ini,” kata Rosmin.

Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Ibu Pejabat RIM di Solaris Mont’ Kiara baru-baru ini.

Bagi Haqiem pula, pastinya kejayaan tersebut memberikan keterujaan dan sebuah penghormatan untuk anak seni sepertinya.

“Saya berasa amat teruja menerima pengiktirafan ini daripada RIM. Mimpi adalah lagu yang istimewa buat saya dan bersyukur atas sokongan daripada semua pihak,” kata Haqiem.

Hal yang sama turut dizahirkan oleh wakil syarikat rakaman FMC Music yang berbesar hati menerima pengiktirafan ini dan menganggap ini merupakan hadiah kepada kerja keras yang dilakukan selama ini.

Menganggap Mimpi merupakan sebuah karya yang lahir daripada jiwa dan dedikasi seluruh pasukan, mereka percaya karya yang indah mampu membawa naskhah tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai rekod beberapa naskhah lain yang pernah menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Jualan RIM ini termasuk Fazura (album pertama ‘Fazura’ memperoleh pensijilan Platinum/Emas (2017); MOJO  (single Andaiku Bercinta Lagi dianugerahkan 5X Platinum (2013) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza (pelbagai album menerima sijil Platinum).

Related post

Leave a Reply