Mia Nasir Sanggup Membujang Sampai Tua, Daripada Jadi Isteri Kedua
Pelakon Mia Nasir, 34, menegaskan dia lebih selesa memilih untuk hidup sendiri daripada berkahwin dengan lelaki yang sudah beristeri, kerana tidak sanggup berkongsi kebahagiaan dengan wanita lain.
Pemilik nama sebenar Nur Farah Andy Nasir, berkata pendiriannya itu sudah lama dipegang dan tidak pernah berubah, malah menolak sama sekali idea untuk menjadi isteri kedua.
“Tidak sama sekali. Saya rasa orang sekeliling pun tahu saya memang tidak melayan suami orang. Bagi saya, kenapa perlu jadi isteri kedua sedangkan masih ramai lelaki bujang di luar sana?” katanya.
Menurut adik kepada pelakon Anzalna Nasir itu, setiap wanita mempunyai pilihan dalam menentukan hala tuju hidup, termasuk soal jodoh dan dia memilih untuk tidak terlibat dalam situasi yang boleh menyakiti hati orang lain.
“Saya mahu jadi yang pertama dan satu-satunya permaisuri dalam kehidupan suami saya. Saya tidak mahu berkongsi suami dengan sesiapa,” jelasnya lagi.
Tambah Mia, soal kekayaan bukan ukuran utama dalam membina rumah tangga, sebaliknya kesanggupan untuk berusaha dan membina kehidupan bersama jauh lebih bermakna.
“Kalau suami tak berharta sekalipun, kita boleh sama-sama berusaha. Bina keluarga dari bawah. Daripada meruntuhkan rumah tangga orang lain, akhirnya anak-anak pula yang terkesan,” ujarnya.
Justeru, Mia mengakui dia lebih rela membujang daripada menjadi punca keretakan rumah tangga orang lain atau hidup dalam hubungan yang memeningkan kepala.
“Saya memang akan elakkan perkara itu. Lebih baik saya hidup solo daripada berkongsi suami atau menjadi isteri kedua,” katanya.
Dalam masa sama, Mia turut menegaskan kepentingan menyemak latar belakang lelaki yang ingin mendekatinya bagi mengelakkan dirinya terjebak dengan lelaki berstatus suami orang.
“Itu memang perkara paling penting. Kalau suami orang, terus saya tolak. Tak perlu. Kalau lelaki cuba menggoda tetapi kita tidak melayan, lama-kelamaan dia akan berhenti sendiri. Jadi bagi saya, jangan layan dan abaikan sahaja,” katanya.
