Masih Berdepan Kes Berat, Warga Tempatan Personal Kenapa Tate Andrew Dibenar Masuk Hong Kong

Personaliti internet kontroversi, Andrew Tate dan adiknya Tristan Tate, dilihat bersosial di Hong Kong sepanjang hujung minggu lalu, dengan video serta gambar mereka di lokasi hiburan malam dan menaiki kapal layar mewah tular di media sosial.
Andrew Tate, 39, turut berkongsi rakaman di X yang menunjukkan dia bersama adiknya itu berada di kawasan hiburan malam terkenal Lan Kwai Fong, di mana orang ramai dilihat berkumpul untuk bergambar dengan mereka pada lewat malam.
Beberapa hantaran lain turut memaparkan pasangan adik-beradik itu berada di atas kapal layar di Victoria Harbour, manakala satu lagi video menunjukkan Andrew menyanyi di sebuah bilik peribadi sambil dikelilingi sekumpulan wanita.
Memetik laporan Hong Kong Free Press, kehadiran mereka di Hong Kong segera menarik perhatian pengguna media sosial tempatan, dengan ramai mempersoalkan mengapa mereka dibenarkan memasuki bandar itu walaupun berdepan pertuduhan jenayah di luar negara.
Pengguna platform Threads mengkritik sambutan orang awam yang diberikan kepada mereka, merujuk kepada kenyataan Andrew Tate sebelum ini mengenai wanita serta kaitannya dengan komuniti dalam talian dikenali sebagai manosphere, iaitu rangkaian komuniti internet yang sering mempromosikan pandangan anti-feminis.
Andrew kemudian memuji Hong Kong dalam kenyataan kepada media, dengan mengatakan bandar itu menyambut kedatangannya dengan baik, menurut laporan South China Morning Post.
Katanya, tenaga bandar itu, budaya dan masyarakatnya amat mengagumkan, sambil menambah bahawa orang ramai menyambut mereka dengan mesra sejurus selepas mereka tiba.
“Saya sentiasa menghargai apabila orang datang menyapa atau menunjukkan sokongan. Ia membuktikan tidak semua orang percaya sepenuhnya apa yang mereka lihat di media,” katanya.
Pasangan adik-beradik itu juga dilaporkan meluangkan masa di sekitar Victoria Harbour dan beberapa lokasi di kawasan Causeway Bay.
Beberapa laporan berasingan menyatakan mereka mungkin menginap di Rosewood Hong Kong, namun pihak hotel enggan mengulas mengenai butiran tetamu atas alasan privasi dan keselamatan.
Menurut laporan South China Morning Post, adik-beradik Tate pertama kali ditahan di Romania pada akhir 2022 sebelum didakwa pada tahun berikutnya atas tuduhan pemerdagangan manusia dan membentuk kumpulan jenayah terancang.
Andrew Tate juga berdepan pertuduhan rogol di negara itu.
Pendakwa raya Romania kemudian menambah beberapa dakwaan baharu pada 2024, termasuk tuduhan melibatkan individu bawah umur, menurut laporan Hong Kong Free Press.
Pada masa sama, pihak berkuasa di United Kingdom turut membenarkan beberapa pertuduhan tambahan terhadap kedua-dua mereka, termasuk rogol, serangan serta kesalahan berkaitan pemerdagangan manusia.
Walaupun beberapa pertuduhan yang pernah dikaitkan dengan Andrew Tate di Britain telah digugurkan, prosiding undang-undang masih berjalan di kedua-dua negara tersebut. Kedua-dua beradik itu menafikan semua dakwaan yang dikenakan terhadap mereka.
Kehadiran mereka di Hong Kong sekali lagi mencetuskan persoalan dalam talian mengenai perjalanan antarabangsa ketika prosiding undang-undang masih berlangsung, khususnya selepas pihak berkuasa Romania melonggarkan larangan perjalanan yang sebelum ini mengehadkan pergerakan mereka ke luar negara.



