Mak Wan Latah Tak Boleh Berjalan, Doktor Suntik Ubat Di Lutut
PELAKON veteran, Mak Wan Latah, 63, perlu menyelesaikan baki penggambaran drama bersiri 20 episod meskipun keadaan kesihatan tidak berapa baik disebabkan mengalami sakit lutut sehingga sukar untuk berjalan.
Menurut Mak Wan atau nama sebenar Halimatussa’diah Mohd Daud, dia sudah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan dan berharap sembuh dalam masa terdekat supaya dapat kembali bekerja semula.
“Saya sudah terima tawaran berlakon drama bersiri sebelum sakit lutut lagi. Jadi, saya perlu selesaikan dan tunaikan tanggungjawab sebagai pelakon sehingga penggambaran selesai April.
“Saya sudah mendapatkan rawatan di hospital dan doktor beri suntikan di lutut, dijangka boleh berjalan semula dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Tambah Mak Wan lagi, dia mula mengalami sakit lutut disebabkan satu insiden terjatuh di Makkah ketika menunaikan umrah pada 2015.
“Saya bergantung dengan ubat kerana menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, semput dan sakit buah pinggang.
“Saya perlu kuat untuk menempuh semua ujian penyakit ini kerana perlu bekerja meneruskan kelangsungan hidup.
“Sebab itu, saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga diberikan kesihatan baik dan dikurniakan tawaran kerja kerana tidak suka meminta bantuan pada orang,” katanya dipetik Berita Harian.
Terdahulu, keadaan terkini Mak Wan meraih simpati ramai selepas pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew menziarahi aktres itu di kediamannya.