
Kisah Siti Nurhaliza Dimuatkan Dalam Buku Teks Sekolah Filipina
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus membuktikan pengaruhnya di peringkat serantau apabila kisah hidupnya dilaporkan dimuatkan dalam buku teks sekolah menengah di Filipina.
Perkara itu menjadi tular selepas seorang individu dipercayai pelajar Filipina meninggalkan komen di TikTok milik penyanyi tersohor berusia 46 tahun itu, meminta kepastian tentang kemunculan nama Siti dalam buku teks Bahasa Filipina untuk pelajar Gred 9.
“Adakah ini awak yang ada dalam buku teks Gred 9 di Filipina? Saya pernah lihat halaman tentang awak semasa di sekolah,” tulis individu tersebut.
Meskipun tidak memberikan jawapan secara langsung, Siti membalas komen berkenaan dengan emoji hati berwarna merah, seolah-olah mengiyakan kenyataan itu.
Lebih menarik, seorang lagi pengguna turut berkongsi foto halaman buku teks yang memaparkan maklumat mengenai penyanyi lagu Purnama Merindu itu, sekali gus mengesahkan kewujudan kandungan tersebut.
Perkongsian itu mencetuskan keterujaan ramai peminat yang melihat kemunculan Siti dalam buku teks luar negara sebagai satu pengiktirafan besar terhadap sumbangannya dalam bidang seni, bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia.