Kilafairy Tepis Dakwaan Dah Tanggal Tudung

Pelakon dan penyanyi, Kilafairy, 37, tampil menjelaskan kekeliruan susulan dakwaan kononnya dia terfikir untuk membuka hijab kerana peluang kerja yang semakin berkurangan.
Menafikan perkara tersebut, Kilafairy mengakui dirinya pernah berdepan rasa goyah dalam usaha mengekalkan istiqamah, namun menegaskan perasaan itu langsung tidak berkait dengan soal rezeki atau tawaran lakonan.
“Tiada kaitan dengan tawaran kerja sebab sejujurnya tawaran berlakon masih okay, Alhamdulillah. Cuma, tidak dinafikan pada waktu tertentu, datang rasa yang entah kenapa terlintas macam senang kalau keluar tanpa bertudung.
“Keluar sahaja dari rumah tanpa perlu fikir apa-apa. Tapi perasaan itu cepat-cepat saya tahan,” katanya.
Menurut Kilafairy lagi, rasa goyah tersebut dianggap sebagai lumrah dalam perjalanan iman seseorang, namun dia memilih untuk segera mencari jalan menguatkan diri setiap kali perasaan itu muncul.
“Apabila perasaan itu datang, saya terus hubungi ustazah. Beliau beritahu, di situlah pahala saya. Dalam usaha menahan diri daripada membuka tudung itu sendiri adalah ganjaran.
“Tetapi apa yang buat saya rasa lagi terkejut, apabila ramai yang menghantar mesej kepada saya. Mereka cakap, ya Allah, ingat saya seorang yang rasa macam ini.
“Saya suka apabila mereka sedar bahawa mereka tidak keseorangan. Saya percaya hampir setiap wanita pernah melalui fasa sebegini,” katanya lagi.
Mengulas sama ada dia menerima sokongan atau nasihat khusus daripada rakan selebriti, Kilafairy mengakui keputusan untuk terus berhijab akhirnya bergantung sepenuhnya kepada kekuatan diri sendiri.
“Tidak ada nasihat secara khusus daripada kawan-kawan, ada hubungi, tapi sebenarnya di akhir nanti diri sendiri yang kena kuat. Dalam hati selalu cakap, sayangnya hendak buka (hijab). Jadi, rasa itu masih kekal.
“Setakat ini, Alhamdulillah, tudung masih di atas kepala. Doakanlah supaya ia berterusan sampai bila-bila,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Kilafairy pernah berkongsi tentang pergolakan emosi yang dilaluinya dalam mempertahankan hijab sejak mula berhijrah pada tahun 2020, pengalaman yang menurutnya membuatkan dia lebih memahami cabaran sebenar dalam mengekalkan komitmen tersebut.



