Kerjaya Pernah Hampir ‘Musnah’, Shila Amzah Imbas Detik Akaun Bank ‘Kering Kontang’

Kerjaya Pernah Hampir ‘Musnah’, Shila Amzah Imbas Detik Akaun Bank ‘Kering Kontang’

Di sebalik nama besar dan pengiktirafan antarabangsa, penyanyi Shila Amzah, 35, mendedahkan pernah melalui satu fasa paling getir dalam hidupnya apabila berdepan tekanan kewangan sehingga terpaksa membina semula kerjayanya dari titik sifar.

Pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah, berkata tempoh sukar itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bukan sahaja mengubah landskap industri hiburan, malah memberi kesan besar terhadap kehidupannya.

Ketika itu, Shila baru melahirkan cahaya mata dan pada masa sama berpisah dengan bapanya, Datuk ND Lala yang sebelum ini menguruskan perjalanan kerjaya seninya.

“Waktu PKP, saya baru bersalin dan dalam masa sama kami berpisah dari segi kerja. Keadaan itu buat kami benar-benar bermula dari kosong.

“Ini perkara yang ramai tak tahu walaupun saya sudah dikenali sebagai Shila Amzah di China,” katanya dalam satu audio siar Era.

Menurut Shila, situasi kewangan ketika itu berada pada tahap yang sangat mencabar sehingga dia sendiri perlu bertanya baki wang yang dimiliki untuk meneruskan kehidupan.

“Saya tanya pengurus saya, Aini, berapa duit yang kami ada pada hari itu. Sampai ke tahap itu kami bermula semula, bukan kosong saja, malah daripada negatif,” katanya jujur.

Dalam audio siar sama, penyampai Era, Raden, sempat mengajukan soalan mengenai bayaran persembahan yang pernah diterimanya sepanjang kerjaya. Namun, Shila memilih untuk tidak memperincikan perkara tersebut.

“Jangan tanya soal bayaran persembahan. Ketika itu saya masih menyewa rumah, perlu bayar ansuran kereta dan baru melahirkan anak.

“Hidup ada, tapi tak berapa hidup. Baik jadi sofa atau perabot,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Selain isu kewangan, Shila turut berkongsi pernah berada di titik paling rendah dalam hidupnya dari segi emosi selepas melalui episod putus cinta pada usia awal 20-an.

“Selepas lagu Patah Seribu, saya melalui fasa putus cinta. Bukan sekadar soal cinta, tetapi kehidupan saya ketika itu rasa sempit, seolah-olah tak boleh bernafas,” katanya.

Bagaimanapun, Shila percaya setiap kesukaran hadir bersama peluang. Keputusan untuk berhijrah ke China dan memberi sepenuh fokus kepada kerjaya muzik di sana menjadi titik kebangkitan buat dirinya.

“Allah Maha Baik. Bila semua itu berlaku, saya terbang ke China dan fokus kerja sepenuhnya. Dari situlah saya rasa dapat bernafas semula,” ujarnya.

Related post

Leave a Reply