Kerja Doktor Bertahun-Tahun Tapi Masih Tak Mampu Beli Rumah
Apabila orang berbicara tentang kerjaya seorang doktor, kebanyakan membayangkan kestabilan, keselesaan dan kehidupan yang senang. Namun, bagi seorang doktor Malaysia, realitinya jauh berbeza.
Dia mendedahkan yang selepas bertahun-tahun bekerja dengan syif 28 jam, malam tanpa tidur dan beban kerja yang berat, dia masih tidak mampu membeli rumah sendiri.
Dia bukanlah pelajar yang teruk. Ketika di sekolah, prestasinya agak baik. Dia memperoleh 6A 1B dalam UPSR, 7A 1B dalam PMR, dan 4A dalam SPM
Namun, sikap memberontak remaja menjadi penghalang. Dia ketagih bermain permainan dalam talian, terutamanya Maple Story, dan keputusan SPM miliknya menurun.
“Apabila keputusan keluar, ibu bapa saya sangat kecewa. Mereka duduk berbincang lama dengan saya. Waktu itu saya sedar, saya perlu berubah,” katanya.
Disebabkan keputusan akademik yang tidak melayakkan biasiswa tempatan, ibu bapanya menghantar dia melanjutkan pelajaran A-Levels, di mana dia hanya mendapat BBC, iaitu cukup-cukup untuk melayakkan diri ke bidang perubatan.
“Mereka habiskan hampir semua simpanan untuk hantar saya belajar di luar negara. Saya tahu saya tak boleh sia-siakan.
“Saya berjanji pada diri, walau sesusah mana sekalipun, saya mesti habiskan apa yang saya mulakan,” katanya kepada XUAN.
Enam tahun kemudian, dia pulang dengan ijazah perubatan dan bersedia menempuh cabaran seterusnya iaitu housemanship (latihan doktor pelatih).
“Saya dah dengar semua cerita ngeri tentang houseman, jadi saya dah bersedia secara mental.
“Sebagai graduan luar negara, saya memang tak biasa dengan sistem hospital tempatan. Jadi, semestinya saya jadi perhatian pakar,” katanya.
Dia sering diminta membentangkan kes pesakit ketika ‘ward round’. Tiada siapa peduli tentang gred akademik lagi, yang penting, seberapa efisien dia bekerja.
“Pada mulanya saya buat silap dan diketawakan. Tapi dalam dua minggu, saya dah mula tangkap rentak.
“Kadang-kadang saya kena ambil darah bayi. Tangan kecil mereka penuh kesan jarum. Sakit hati tengok,” kongsinya.
Selepas pediatrik, dia berpindah ke ortopedik, kemudian pembedahan dan seterusnya obstetrik membantu melahirkan ramai bayi.
Dia bangun seawal 5 atau 6 pagi untuk menyiapkan laporan pesakit, kemudian sertai ‘morning round’ bersama pegawai perubatan dan pakar. Selepas itu, datang lagi lambakan laporan, panggilan telefon, preskripsi, ujian darah dan kerja wad.
Kadang-kadang dia bekerja syif merah iaitu 8 pagi hingga 5 petang, rehat 4 jam, sambung pula 9 malam hingga tengah hari keesokan hari.
“Dalam dua hari, saya kerja hampir 28 jam. Kadang saya tertidur masa tengah tulis laporan keluar wad,” luahnya.
Penempatan terakhirnya di Jabatan Kecemasan, di mana dia dilantik sebagai “kapten” dalam kalangan houseman mengurus jadual syif rakan-rakan.
“Lepas beberapa tahun, saya sedar, walau kerja macam ni, saya masih tak mampu beli rumah.
“Masa muda, saya duduk dengan ibu bapa, makan makanan mereka, guna kereta mereka. Tapi bila makin dewasa, saya mula rasa terperangkap.
“Bayangkan ansuran rumah boleh cecah RM3,000 sebulan. Dengan gaji saya, mana mampu? Ketika itu dia sedar hakikat pahit, bukan sekadar harga rumah yang tinggi, tapi gaji doktor tidak setinggi yang disangka orang.
“Saya dulu fikir jadi doktor bermaksud hidup kelas pertengahan stabil. Tapi bila tengok senior umur 50-an masih struggle, masih on call, masih gaji sederhana, saya mula fikir semula,” katanya.
Selepas bertahun-tahun bekerja tanpa rehat dan tanpa ganjaran setimpal, dia akhirnya membuat keputusan sukar iaitu berhenti daripada perkhidmatan kerajaan.
“Orang kata doktor tak patut fikir duit, kena ada etika. Tapi saya bukan dari keluarga kaya. Ibu bapa saya habiskan simpanan hidup untuk saya belajar perubatan.
“Saya ada etika. Saya sayang pesakit. Tapi etika tak boleh bayar bil. Saya cuma manusia biasa yang perlu hidup dan sara keluarga.
“Itulah kenyataan yang ramai antara kita hadapi,” tutupnya.
