Kempen Kesedaran Kanser Payudara ‘Love Your W 2025’ Dikecam, Persembahan Jay Park DituduhTidak Sensitif Dengan Tema Acara

Kempen Kesedaran Kanser Payudara ‘Love Your W 2025’ Dikecam, Persembahan Jay Park DituduhTidak Sensitif Dengan Tema Acara

Acara kempen kesedaran kanser payudara ‘Love Your W 2025’ anjuran majalah fesyen W Korea menerima kritikan hebat sehingga memaksa pihak penerbit mengeluarkan kenyataan ringkas.

Pada 16 Oktober, wakil W Korea memberitahu portal OSEN yang beliau tidak mempunyai sebarang maklum balas mengenai kontroversi sekitar acara itu.

“Kami tidak dapat memberikan sebarang komen,” ujar kenyataan tersebut.

Acara tersebut yang berlangsung pada 15 Oktober lalu di sebuah hotel di Seoul, diadakan bersempena ulang tahun ke-20 kempen kesedaran kanser payudara terbesar di Korea anjuran W Korea. Majlis berbentuk makan malam gala dan parti itu turut dihadiri puluhan selebriti terkenal.

Namun, kritikan mula timbul dalam talian apabila ramai berpendapat acara tersebut hampir tiada elemen berkaitan kesedaran kanser payudara sama ada dari segi kandungan atau persembahan.

Kontroversi semakin memuncak apabila Jay Park tampil membuat persembahan lagu hitnya berjudul MOMMAE.

Lirik lagu tersebut yang secara jelas menggambarkan bentuk tubuh wanita serta menyebut tentang payudara dianggap tidak sesuai dan bertentangan sepenuhnya dengan tujuan utama kempen kesedaran kanser payudara.

Seorang pesakit kanser payudara memberi komen:

“Saya rasa para tetamu pun tak ambil tahu langsung tentang kanser payudara. Bagi kami pesakit, ini rasa seperti satu penghinaan.”

Sementara itu, seorang lagi netizen menulis:

“Mereka sepatutnya terus sahaja buat parti tanpa guna tema ‘kanser payudara’. Menonton persembahan MOMMAE sambil minum-minum adalah sesuatu yang menyakitkan hati bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat kanser payudara.”

Kritikan turut tertumpu kepada struktur dan konsep acara tersebut. Tidak seperti kebanyakan acara amal antarabangsa yang menampilkan kod pakaian serba merah jambu dan reben merah jambu, elemen itu hampir tiada di Love Your W 2025.

Selain itu, jumlah kutipan derma terkumpul selama 20 tahun didakwa hanya 1.1 bilion won (RM3.6 juta) satu angka yang dianggap terlalu kecil untuk acara sebesar itu.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang mempertahankan acara tersebut.

“Tujuan utama acara amal ialah untuk mengutip dana. Bentuk parti itu tak sepatutnya jadi isu,”

“Penyertaan selebriti tetap membantu meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.”

Susulan kontroversi itu, Jay Park tampil memohon maaf di media sosial miliknya.

“Persembahan saya dibuat selepas kempen rasmi berakhir, semasa after-party, jadi saya tampil seperti biasa. Saya mohon maaf sekiranya ada pesakit kanser yang berasa tidak selesa atau tersinggung.

“Saya buat persembahan tanpa bayaran walaupun sedang cedera, jadi tolong jangan salah tafsir niat baik saya,” katanya.

Selepas insiden itu, W Korea dilaporkan memadam video persembahan Jay Park secara senyap-senyap dari platform rasminya, namun masih mengekalkan pendirian untuk tidak mengeluarkan kenyataan lanjut kepada umum.

Sumber: Allkpop

Related post

Leave a Reply