Kanak-Kanak Tertinggal Di Kedai Makan Secara Tidak Sengaja Oleh Keluarga

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui bersendirian di sebuah restoran di Temerloh, Pahang selepas keluarganya secara tidak sengaja meninggalkannya di lokasi berkenaan.

Kanak-kanak itu ditemui berada di restoran Selera Timur sekitar pukul 10 malam. Orang awam yang menyedari dia bersendirian segera menghubungi pihak berkuasa tempatan.

Menurut hantaran Facebook oleh Polis Temerloh, kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan baik namun tidak dapat berkomunikasi dengan jelas. Dia dianggarkan berusia sekitar lima tahun dan memakai pakaian yang sama seperti dalam gambar yang dikongsikan.

Polis membawa kanak-kanak itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh sementara usaha mengesan ibu bapa atau penjaganya dijalankan.

Menurut laporan Sin Chew Daily, kanak-kanak itu sebelum ini berada di restoran tersebut bersama ahli keluarganya dan beberapa saudara-mara. Mereka menaiki dua buah kereta yang berasingan.

Difahamkan, kanak-kanak itu sepatutnya pulang bersama bapa saudaranya, namun tidak menaiki kenderaan seperti yang dirancang.

Keluarganya hanya menyedari ketiadaan kanak-kanak itu selepas tiba di kawasan Gambang, Kuantan, kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan dari Temerloh dan segera berpatah balik.

Keluarga kanak-kanak itu menghubungi polis Temerloh pada jam 11.30 malam dan tiba di balai polis sekitar jam 12.40 pagi untuk menjemputnya.

Related post

Leave a Reply