“Kami Tak Boleh Bermusuh”

“Kami Tak Boleh Bermusuh”

Bekas suami kepada penyanyi Adira Suhaimi, iaitu Datuk Seri Adnan Abu mengakui hubungan mereka kini kembali jernih demi kesejahteraan empat anak mereka, meskipun sebelum ini berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya.

Menurut Adnan, usaha untuk memperbaiki komunikasi selepas perceraian adalah keutamaan kerana tidak mahu konflik berpanjangan memberi kesan kepada emosi anak-anak.

Kongsinya, hubungan mereka kini lebih kepada menjaga silaturahim dan bertindak secara matang memandangkan rujuk bukan lagi pilihan.

“Kami tetap ibu dan bapa kepada anak-anak. Jadi tak ada sebab untuk bermusuhan atau membawa hal ke mahkamah. Kami tak boleh bermusuh.

“Kami pilih jalan yang paling tenang supaya anak-anak tak terkesan. Fokus utamanya kini hanyalah kebajikan anak-anak,” katanya.

Dalam masa sama, Adnan berkongsi pengalaman pulang daripada umrah baru-baru ini, yang merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Katanya, kunjungan itu meninggalkan kesan mendalam dan membuatkan dirinya lebih sedar akan kekurangan diri.

Dia juga mengakui kunjungan tersebut memberi kekuatan baharu, selain menimbulkan keinsafan sebagai manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Adnan turut menceritakan bahawa banyak doanya di sana ditumpukan untuk menyelesaikan hutang dan memohon agar semua anaknya dapat dibesarkan di bawah satu bumbung suatu hari nanti.

“Doa pertama saya adalah untuk selesaikan hutang. Lepas tu saya doa untuk kumpulkan semua anak di bawah satu bumbung. Insya-Allah.

“Memang seronok, air mata tu jatuh sendiri. Saya tak sangka boleh jejak ke rumah Allah sebab status saya yang bankrap,” luahnya.

Adira sebelum ini memaklumkan memang berlaku pertelingkahan antara mereka namun enggan mengulas lanjut puncanya.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 dan bercerai pada 24 April tahun lalu. Mereka dikurniakan empat cahaya mata: Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.

Related post

Leave a Reply