Kamal Adli Sambut Anniversary Perkahwinan Seorang Diri, Tanpa Uqasha & Anak
Pelakon Kamal Adli reda apabila terpaksa menyambut ulang tahun keempat perkahwinannya pada 5 November tanpa kehadiran isteri tercinta, Uqasha Senrose, dan anak mereka, Hawra Uqaira.
Menurut Kamal, situasi rumah tangga yang sedang dilalui ketika ini membuatkan impian untuk meraikan hari istimewa itu bersama keluarga tidak dapat direalisasikan seperti yang dirancang.
“Hari ini sepatutnya hari ulang tahun perkahwinan saya dan Uqasha. Jadi saya harap semua boleh doakan yang baik-baik untuk kami.
“Sebenarnya, sambutan ini sudah dirancang lama, tapi nak buat macam mana, mungkin belum rezeki. Saya reda dan terima semuanya dengan tenang,” katanya ditemui pada sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh.
Kamal turut memberitahu, sebelum hadir ke sidang media tersebut, dia sempat singgah di lokasi yang sepatutnya menjadi tempat sambutan mereka sekeluarga.
“Saya datang terus dari tempat yang sepatutnya kami raikan bersama. Itu sebab saya agak lewat tiba ke sini,” ujarnya lagi.
Walaupun sibuk dengan jadual penggambaran, Kamal menegaskan dia masih mampu mengimbangi antara kerja dan kehidupan peribadi.
“Saya okay sebenarnya. Masih ada masa untuk diri sendiri, anak, dan keluarga. Saya tahu macam mana nak urus masa. Saya seronok bila bekerja, malah rasa risau kalau lama tak ada tawaran,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perkembangan hubungan mereka, Kamal memaklumkan komunikasi dengan Uqasha masih dijalankan melalui orang tengah selepas isterinya memfailkan perceraian.
“Sekarang kami masih berhubung melalui orang perantaraan. Biasalah, mungkin Uqasha masih perlukan masa.
“Untuk urusan anak pula, semuanya melalui proses yang ditetapkan undang-undang dan saya ikut saja aturan yang sepatutnya,” jelasnya.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Hawra Uqaira yang kini berusia 19 bulan.
