“Kalau Tak Bagi Duit, Dipukul” – Mak Jah Dedah 15 Tahun Hidup Dalam Keganasan Rumah Tangga
Pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah membuka kisah hitam kehidupannya yang penuh derita apabila mendedahkan pernah berdepan keganasan rumah tangga serta pengabaian nafkah selama hampir 15 tahun.
Pendedahan menyayat hati itu dikongsikan menerusi podcast Hitam Putih yang dikendalikan Datuk Rosyam Nor dan Erra Fazira.
Dalam sesi berkenaan, Mak Jah, 77, mengakui dirinya hidup dalam keadaan seolah-olah ‘gantung tak bertali’ sejak usia awal 30-an, tanpa hala tuju dan tanpa pembelaan.
“Duit dia, duit dia. Duit kita pun duit dia. Kalau tak bagi, dicuri. Tak dapat dicuri, dipukul,” luahnya.
Menurut Mak Jah lagi, dia bukan tidak mahu membebaskan diri daripada perkahwinan toksik tersebut lebih awal, namun kekangan kewangan serta tanggungjawab terhadap anak-anak membuatkan dia terpaksa bertahan dalam kesakitan.
“Cakap-cakapnya (mahu) lapor. Nak pergi pun saya tak ada duit. Saya cari rezeki buat kerja makeup artist (jurusolek), semua nak cari duit untuk bagi anak makan dan sekolah.
“Kalau balik, saya selalu larikan diri, tak nak bertembung dengan dia. Dia tak ada bagi duit belanja, macam mana saya nak makan?” katanya dengan nada sebak.
Mak Jah turut mendedahkan bekas suaminya bukan sahaja gagal menunaikan tanggungjawab memberi nafkah, malah sering bertindak agresif setiap kali dia enggan menyerahkan wang hasil titik peluhnya sendiri.
Lebih menyedihkan, penderitaan yang ditanggung itu mencapai kemuncak apabila Mak Jah dikasari sehingga tidak sedarkan diri, malah kejadian tersebut berlaku di hadapan anak-anaknya sendiri.
Ujarnya, pengalaman itu menjadi luka yang amat mendalam, namun demi kelangsungan hidup, dia memilih untuk terus kuat dan bangkit membesarkan anak-anak seorang diri.
Kisah yang dikongsikan dalam episod berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa simpati, selain mengagumi ketabahan Mak Jah yang cekal menghadapi ujian hidup demi memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna.
