K-Pop Demon Hunters: Kisah Perjalanan Maggie Kang Dari Peminat H.O.T. Ke Fenomena Global

K-Pop Demon Hunters: Kisah Perjalanan Maggie Kang Dari Peminat H.O.T. Ke Fenomena Global

Diarahkan oleh Maggie Kang, seorang artis cerita berpengalaman dengan lebih dua dekad di DreamWorks, filem animasi K-Pop Demon Hunters kini melonjak sebagai fenomena global.

Dalam temubual bersama program CBC Q with Tom Power, Maggie Kang berkongsi bagaimana perjalanan peribadi dan pengalaman budayanya membentuk projek yang kini memikat penonton di seluruh dunia.

Membesar di Toronto pada era 1990-an, Maggie kerap pulang bercuti ke Korea pada musim panas, di situlah dia mula mengenali K-pop dan budaya Korea.

“Pada tahun 90-an, menjadi peminat K-Pop di Kanada seperti memiliki identiti rahsia. Filem ini sebenarnya adalah filem yang saya impikan untuk ditonton ketika remaja,” katanya.

Inspirasi besarnya datang daripada kumpulan idola generasi pertama, H.O.T.

“Dinding bilik saya penuh dengan poster H.O.T., dan saya akan rakam rancangan muzik di VHS untuk ditonton berulang kali.

“Rasa semangat dan keterujaan yang saya alami ketika itu adalah sesuatu yang ingin saya hidupkan kembali melalui Huntrix dan kumpulan saingan mereka, Saja Boys,” katanya lagi.

Dari segi muzik, Maggie bekerjasama dengan nama besar industri seperti Teddy, penerbit terkenal di sebalik BLACKPINK, serta penulis lagu EJ daripada Roomies.

“Kami mahu runut bunyi yang benar-benar membawa jiwa K-pop. Dengan Teddy, visi itu berjaya direalisasikan,” kongsinya.

Album runut bunyi filem ini terus memasuki carta Billboard sejurus selepas dilancarkan, sekali gus melonjakkan perhatian terhadap filem tersebut. Naratif filem turut menggabungkan elemen unik Korea seperti motif shamanisme dan simbolisme tradisional.

“Penonton Korea sangat dekat dengan butiran budaya ini. Selain itu, budaya peminat adalah nadi sebenar K-Pop. Filem ini bukan sekadar hiburan; ia adalah janji buat peminat K-pop di seluruh dunia,” jelas Maggie.

Dengan gabungan keaslian budaya, emosi yang mendalam dan muzik yang bertenaga, K-pop Demon Hunters kini kukuh sebagai kejayaan komersial dan budaya, terus memperluaskan pengaruhnya kepada penonton global.

Related post

Leave a Reply