Joe Flizzow Diangkat Sebagai Ikon Belia Johor

Joe Flizzow Diangkat Sebagai Ikon Belia Johor

Menjadi antara sebagai penyanyi berpengaruh di Malaysia, Joe Flizzow mencatat satu lagi sejarah apabila menerima pengiktirafan sebagai Ikon Belia Johor (Penggiat Seni) sempena Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31) baru-baru ini. 

Anugerah berprestij ini disampaikan bersempena majlis pelantikan Ikon Belia Johor, sebagai tanda penghormatan kepada sumbangan beliau terhadap dunia seni, budaya dan pembangunan anak muda.

Dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu, penerbit muzik dan usahawan, Joe merupakan figura penting yang bukan sahaja mengangkat martabat muzik hip-hop Malaysia, malah menjadi inspirasi generasi muda untuk terus berkarya serta berani menembusi batasan.

Pengiktirafan ini menjadi satu lagi pencapaian bermakna buatnya, yang tidak hanya dikenali sebagai ikon seni, tetapi juga seorang pemimpin industri dan usahawan berjaya. 

Melalui karya muzik, perniagaan, dan platform pembangunan bakat, beliau terus membuktikan bahawa seni mampu menjadi wahana untuk perubahan positif dalam masyarakat.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan kepada saya secara peribadi, tetapi juga kepada seluruh anak muda Johor yang berani bermimpi dan berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang,” kata Joe.

Penganugerahan ini sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Joe sebagai salah seorang sosok paling berpengaruh dalam dunia seni dan belia, bukan sahaja di Johor, malah di peringkat antarabangsa.

Mengimbas kembali perjalanan seni lelaki ini, Joe pernah menerima anugerah kategori Best Southeast Asia Act sempena MTV Europe Music Awards 2018, menjadikannya artis Malaysia pertama dan satu-satunya yang menerima anugerah berprestij ini.

Menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) pula, Joe merah 11 trofi AIM sepanjang kerjaya dari tahun 2002 hingga 2022, termasuk bersama Too Phat dan sebagai artis solo; antara penerima AIM terbanyak dalam sejarah muzik tempatan.

Lagu Apa Khabar nyanyiannya bersama SonaOne diangkat menjadi Juara Lagu sempena Anugerah Juara Lagu (AJL29) dan mencatatkan sejarah manis menjadi lagu hip-hop pertama diangkat menjadi juara.

Pengasas label Kartel Records dan platform 16 Baris, ruang yang melahirkan ramai bakat seni baharu selain mengasaskan rangkaian Joe’s Barbershop yang kini mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh negara.

Meneruskan kepimpinan, Joe juga menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan, Def Jam Recordings Southeast Asia, label hip-hop paling berprestij dan berpengaruh di dunia.

Terbaru, Joe kembali dengan single terbarunya berjudul “Berlian”, sebuah karya yang menampilkan lirik penuh motivasi dan mesej inspirasi buat generasi muda.

Related post

Leave a Reply