
Jinu Terkorban? Pengarah Beri Bayangan Sekuel K-Pop Demon Hunters
Filem K-Pop Demon Hunters terbitan Sony terus mencatat kejayaan global yang mengagumkan, malah turut mendapat tayangan di pawagam kerana popularitinya.
Filem ini berkisar sebuah trio K-Pop yang juga merupakan pemburu syaitan, berdepan ancaman baharu daripada sebuah kumpulan syaitan berbentuk boy band. Walaupun terdapat perbezaan, HUNTR/Xleader Rumi dan Jinu daripada kumpulan Saja Boys akhirnya menemui titik persamaan, kerana didorong oleh rahsia warisan syaitan Rumi.
Walaupun jalan ceritanya berakhir dengan kemenangan menentang kejahatan, nasib Jinu menjadi persoalan kerana dia dilihat terkorban ketika melindungi Rumi.
Namun, dalam filem tersebut, apabila HUNTR/X membunuh syaitan di bumi, mereka sebenarnya hanya kembali ke alam syaitan.
Perincian ini mencetuskan tanda tanya tentang masa depan Jinu, apatah lagi ramai peminat mengharapkan percintaan antara Rumi dan Jinu menjadi kenyataan.
Pengarah filem, Maggie Kang, ketika menghadiri sidang media di Seoul pada 22 Ogos lalu berkongsi tentang inspirasi filem ini dan juga kemungkinan projek akan datang.
Sungguhpun tiada jawapan muktamad mengenai sekuel, Maggie mendedahkan yang dia berminat untuk bekerjasama dengan artis trot dan metal pada masa depan.
“Tiada apa-apa yang disahkan lagi. Saya ada beberapa idea dan saya tahu ramai yang menantikan sambungannya,” katanya.
Apabila ditanya mengapa watak Jinu ‘dihapuskan’, Kang memberikan jawapan yang bercanggah dengan anggapan itu tanpa mendedahkan sebarang kepastian.
“Anda boleh lihat begitu, tetapi sebenarnya kita tidak tahu. Bukankah penonton Korea biasanya menyukai tragedi?” tambahnya seperti dilaporkan Koreaboo.
Walaupun tidak memberikan jawapan pasti yang dinantikan peminat, kenyataan itu telah memberikan harapan bahawa Jinu mungkin kembali pada masa hadapan!