Jepun Mungkin Tambah Tong Sampah Selepas Kawasan Pelancongan Semakin Kotor
Jepun mungkin akan menambah lebih banyak tong sampah di kawasan tumpuan pelancong susulan peningkatan masalah pembuangan sampah.
Satu cadangan telah dikemukakan kepada Majlis Daerah Shibuya sebagai usaha menangani isu pembuangan sampah yang semakin ketara.
Menurut media Jepun, tong sampah akan diwajibkan untuk premis perniagaan yang terletak di kawasan hiburan yang sibuk.
Kedai yang gagal mematuhi peraturan tersebut bakal berdepan penalti sehingga 50,000 yen (RM1,314).
Sementara itu, individu yang ditangkap membuang sampah merata-rata akan dikenakan denda sebanyak 2,000 yen (RM52.56).
Ketika Nippon Television News Japan bertanya kepada orang awam mengenai denda 2,000 yen (RM52.56) itu, seorang responden berkata jumlah tersebut sepatutnya lebih tinggi.
Seorang lagi berkata denda sahaja tidak mencukupi, dan perlu disertai dengan penambahan tong sampah kerana Shibuya sememangnya kekurangan tempat pembuangan sampah.
Jika diluluskan, pindaan ordinan ini akan berkuat kuasa pada April 2026.
Sumber: Mothership
