Walaupun menerima kecaman hebat, drama bersiri terbitan tvN, Nice To Not Meet You masih diteruskan.
Hal ini kerana, dua watak utama bagi drama berkenaan, Lee Jung Jae yang popular menerusi siri Squid Game dan Lim Ji Yeon (The Glory) mempunyai jarak usia yang sangat jauh.
Satu ciapan yang menekankan perbezaan umur mereka tular sewaktu pengumuman rasmi mengenai drama tersebut dibuat.
“Ketika Lee Jung Jae berumur 20 tahun, Lim Ji Yeon baru 2 tahun. Hakikat yang mereka berdua berlakon dalam drama romantik komedi ini terasa seperti satu jenaka yang tidak masuk akal,” tulis pengguna platform X berkenaan.
Pada 1 Ogos, Jung Jae dan Ji Yeon bergambar bersama sambil memegang skrip masing-masing.
Sungguhpun media Korea melaporkan bahawa sesi bacaan skrip berkenaan berjalan lancar, namun peminat K-Drama dilihat semakin tawar hati setelah melihat kedua-dua pelakon itu bersama.
Komuniti online seperti Theqoo turut membidas penampilan Jung Jae dan Ji Yeon dalam gambar yang dikongsikan oleh pihak produksi.
Ada yang menyatakan bahawa tiada langsung keserasian untuk mewujudkan percintaan antara mereka, manakala yang lain secara terbuka mengkritik pelakon itu kerana kelihatan terlalu tua dan tidak menarik.