Jangan Normalisasikan Maksiat – Dr Ahmad Sanusi Beri Teguran

Ahli akademik di Universiti Sains Islam Malaysia dan juga pendakwah bebas, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menegur segelintir umat Islam yang dilihat menormalisasikan maksiat dan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Sanusi mengambil contoh kekerapan umat Islam bertepuk tampar sesama lawan jantina walaupun tidak mempunyai hubungan yang sah.

“Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan. Sabda Rasulullah: ‘Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.’ (HR al-Tabrani),” tulisnya.

Menurut beliau, perkara tersebut perlu dititik beratkan, apatah lagi jika pelaku merupakan seseorang yang dikenali ramai.

Tambahnya, sekiranya perbuatan melakukan maksiat diikuti oleh anak muda lain, individu terbabit akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.

Sementara itu, beliau turut menasihat orang awam supaya tidak menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

“Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah. Sabda Rasulullah: ‘Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya.’ (HR Abu Daud),” tulisnya lagi.

Related post

Leave a Reply