Isu Tanggal Tudung, Aprena Manrose Maafkan Netizen Yang Kecam
Dikecam gara-gara penampilan tidak bertudung ketika menjalani penggambaran sebuah drama, pelakon Aprena Manrose, 35, menegaskan dirinya juga insan biasa yang tidak terlepas daripada kekhilafan.
Pemilik nama lengkap Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, berkata meskipun kini tidak menutup aurat sepenuhnya, dia tetap berusaha memperbaiki diri dengan menimba ilmu agama serta berkongsi perkara baik kepada orang ramai.
Aktres itu mengakui masih banyak kelemahan diri yang perlu diperbetulkan dalam kehidupan seharian.
“Saya manusia biasa, tak lari daripada melakukan kesalahan dan berdosa. Banyak lagi perkara yang saya perlu baiki.
“Saya tak akan berhenti menuntut ilmu dan berkongsi tentang agama walaupun saya sendiri belum mampu menutup aurat dengan sempurna.
“Kalau nak tunggu diri betul-betul sempurna baru nak buat kebaikan, sampai mati pun saya akan hanyut,” katanya dalam sebuah hantaran.
Menurutnya lagi, setiap individu mempunyai perjuangan dan ujian hidup masing-masing, termasuk dirinya, serta cara berbeza dalam menangani setiap masalah yang dilalui.
“Saya pernah cakap, yang baik silakan ikut, yang tak elok jangan sesekali diikuti. Saya tak membela diri kerana memang benar, menutup aurat itu wajib,” katanya lagi.
Aprena turut menzahirkan rasa terharu dengan sokongan dan mesej positif yang diterima daripada orang ramai, selain menghargai setiap doa baik yang dititipkan kepadanya.
“Alhamdulillah ramai yang mesej dengan kata-kata positif. Saya hargai dan rasa sebak. Semoga kebaikan itu berbalik kepada kalian,” katanya.
Namun, dia turut menegur segelintir pihak yang meninggalkan komen keterlaluan agar terlebih dahulu menilai diri sendiri sebelum menghukum orang lain.
“Kepada yang guna bahasa terlalu kesat, siasat diri dulu. Pastikan solat lima waktu itu tak ditinggalkan,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Aprena memaklumkan dia memilih untuk memaafkan semua individu yang pernah melemparkan kecaman dan pandangan negatif terhadapnya.
“Saya tahu kalian bercakap berdasarkan apa yang kalian nampak. Saya tak salahkan sesiapa. Tak mendoakan pun tak apa, jagalah keluarga masing-masing.
“Saya hanya perlu jaga keluarga dan orang yang sayang saya. Kepada peminat yang masih menyokong, hanya Allah SWT mampu membalas kebaikan kalian. Terima kasih,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Aprena berharap tahun baharu membawa sinar yang lebih positif buat semua, selain dikurniakan rezeki berpanjangan serta pengakhiran hidup yang baik.
Terdahulu, penampilan Aprena tanpa tudung mencuri perhatian ramai apabila dia dilihat berbuat demikian ketika menjalani penggambaran drama Nur Untuk Ariff yang turut dibintangi Nazim Othman.
