Isu Pengunduran Wings, Awie Doakan Eddie & Black Berjaya Dunia Akhirat

Isu Pengunduran Wings, Awie Doakan Eddie & Black Berjaya Dunia Akhirat

Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, 70, berlapang dada dengan keputusan dua anggota tetap kumpulan itu, Eddie dan Black yang mengumumkan pengunduran mereka hanya beberapa hari sebelum berlangsungnya Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, berkata perpecahan dalam sesebuah kumpulan muzik adalah perkara lumrah dan tidak perlu dipandang sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Perpecahan kumpulan berlaku di seluruh dunia. Tak ada satu band pun yang orangnya tersusun sampai mati. Jadi ini biasa dan tak perlu digusarkan dan tiada apa yang perlu digusarkan,” katanya.

Bagaimanapun, Awie mengakui hubungan dan perjalanan panjang bersama dua sahabatnya itu tetap dihargai. Malah, dia sentiasa menitipkan doa buat mereka walaupun kini membawa haluan masing-masing.

“Sepatutnya saya tak perlu beritahu apa doa saya. Saya sentiasa doakan mereka berjaya dunia akhirat, sihat tubuh badan, rezeki melimpah.

“Orang tak perlu tahu doa saya sebenarnya, tapi hari ini saya bagi tahu. Setiap sujud saya, mereka dalam doa saya,” ujarnya lagi.

Awie turut mengulas mengenai kenyataannya di pentas konsert yang menyentuh tentang beberapa lagu popular Wings yang dikaitkan secara kiasan dengan individu tertentu yang didakwa meninggalkan perjuangan kumpulan tersebut.

“Tak ada apa-apa. Sebenarnya itu senarai lagu saja. Kebetulan, senarai lagu dalam Wings tu ada lagu sebegitu kan. Jadi, saya cuma meluahkan sedikit rasa hati yang melalui lagu-lagu itu.

“Kebetulan, lillahi Taala saya tidak menyusun. Bila kita susun senarai lagu tu kan, tiba-tiba macam kena dengan keadaan. Tak ada apa-apa. Tak ada lebih daripada itu,” katanya.

Terdahulu, Eddie (bass) dan Black (dram) secara rasmi mengumumkan pengunduran mereka daripada Wings pada 8 Oktober 2025, menamatkan era panjang bersama kumpulan yang menjadi ikon rock tanah air itu.

Related post

Leave a Reply