Isu Penahanan Di Jeddah, Yassin Yahya Syukur Senario Tak Buka Aib

Isu Penahanan Di Jeddah, Yassin Yahya Syukur Senario Tak Buka Aib

Pelawak dan anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya, 47, meluahkan rasa lega apabila rakan-rakan seangkatannya tetap menjaga maruah dirinya ketika namanya terpalit isu penahanan di Jeddah, Arab Saudi, tahun lalu.

Menurut Yassin, sebagai anggota paling muda dalam kumpulan legenda itu, dia tahu abang-abangnya sentiasa mengutamakan keharmonian dan tidak pernah mengambil kesempatan untuk memburukkan keadaan.

“Walaupun saya dah meningkat usia, dalam Senario saya tetap ‘adik bongsu’. Hampir tiga dekad kami bersama, jadi saya faham benar perangai mereka.

“Bising atau ‘gila’ macam mana pun, mereka takkan sesekali buka aib saya. Mereka lagi suka kalau saya yang terangkan. ‘Kau buat, kau jawab’ lebih kurang macam tu,” katanya.

Mengulas sama ada pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam, Yassin menegaskan dia enggan menganggapnya sebagai trauma, sebaliknya menerima segala yang berlaku sebagai ujian hidup.

“Trauma memang tak ada dalam hidup saya. Kita tak tahu apa ujian yang menanti. Kalau Allah nak uji lagi besar pun saya tak tahu, jadi tak boleh nak rasa bangga atau melawan.

“Sudah macam-macam saya lalui sebelum ini, dan semua itu sebenarnya persediaan untuk cabaran seterusnya,” katanya lagi.

Ketiadaan Yassin dalam beberapa program melibatkan Senario sejak penghujung tahun lalu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Keadaan bertambah hangat apabila laporan media pada Oktober lalu mendakwa seorang pelawak Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz kerana disyaki memiliki ganja.

Bagaimanapun, ahli Senario kekal memilih untuk berdiam diri sehingga Yassin sendiri tampil memberi penjelasan sebenar.

Yassin menegaskan dia bukan ditahan atas kes penyalahgunaan dadah. Sebaliknya, situasi yang berlaku hanyalah satu salah faham pihak berkuasa Arab Saudi.

Kegembiraannya menunaikan umrah bersama 24 rakan artis veteran bertukar detik hitam apabila dia ditempatkan di sebuah lokap khas tahanan berkaitan dadah.

Malah, kata Yassin, sepanjang ditahan hampir enam bulan, dia sendiri tidak tahu apakah kesalahan yang dikaitkan dengannya.

Related post

Leave a Reply