Isu Gender Reveal Depan Kaabah, Suami Neera Azizi Digantung Tugas 6 Bulan

Isu Gender Reveal Depan Kaabah, Suami Neera Azizi Digantung Tugas 6 Bulan

Suami kepada penyampai radio, Neera Azizi iaitu Muhammad Hafizi dikenakan tindakan penggantungan tugas selama enam bulan serta-merta susulan penularan video sambutan pendedahan jantina bayi di hadapan Kaabah, baru-baru ini.

Agensi umrah, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan pihak pengurusan memandang serius insiden berkenaan dan telah menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi meneliti perkara itu.

Hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran etika serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kepada semua petugas syarikat, sekali gus mendorong tindakan disiplin diambil.

Susulan itu, Hafizi digantung daripada sebarang tugasan operasi termasuk membimbing jemaah ke Tanah Suci sepanjang tempoh enam bulan berkenaan.

“Individu terlibat turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman termasuk pengeluaran surat amaran rasmi.

“Sebarang pertimbangan untuk pelantikan semula hanya akan dibuat tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap ketetapan dan garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, pihak pengurusan menegaskan bahawa sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah, etika di Tanah Suci serta imej syarikat tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

Terdahulu, sebuah video memaparkan pasangan berkenaan meraikan pendedahan jantina bayi mereka di hadapan Baitullah tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

Ramai berpendapat perbuatan tersebut tidak menghormati kesucian lokasi ibadah umat Islam.

Susulan kecaman yang diterima, video berkenaan dilaporkan telah dipadam daripada semua platform media sosial.

Related post

Leave a Reply