TrendingViral

Isu Didakwa Berlawak Lucah, Fazura Maafkan Lan Pet Pet

Pelakon dan usahawan, Nur Fazura, 42, mengambil keputusan untuk memaafkan pelawak veteran, Lan Pet Pet susulan gurauan yang dianggap tidak wajar dan mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

Fazura menjelaskan tindakannya itu dibuat selepas Lan berani tampil memohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran kata-katanya.

“Assalamualaikum saudara Lan. Susulan permohonan maaf secara terbuka oleh saudara Lan, Faz memilih untuk segera memaafkan seperti mana segera pula saudara Lan memohon maaf atas kekhilafan itu.

“Ini kerana, walaupun hati pernah terguris, keinginan untuk mencapai reda Allah SWT adalah lebih utama. Semoga kejadian ini menjadi pengajaran dan teladan buat kita bersama. Mudah-mudahan. Amin,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Sebelum itu, anggota kumpulan Senario berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi satu video di akaun TikTok miliknya selepas menerima kecaman hebat daripada netizen.

Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 55, mengakui gurauan yang dilontarkan secara spontan itu telah menyentuh perasaan Fazura tanpa disedarinya.

“Untuk Fazura, abang Lan minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Dalam tak sedar berlawak, ada perkara yang menyentuh perasaan Fazura.

“Kepada semua peminat Fazura dan Senario, demi nama Allah, abang Lan langsung tiada niat apa-apa.

“Abang Lan manusia biasa. Sekali lagi abang minta maaf kerana terlepas cakap dan pada waktu itu suasana juga membuatkan abang tidak sedar,” katanya.

Terdahulu, usikan Lan yang mengaitkan Fazura dengan isu perkahwinan menerima kecaman ramai apabila disifatkan sebagai tidak sesuai serta berbaur lucah.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button