
Isteri Shuk Sahar Lega Status Perkahwinan Disahkan, Seterusnya Mahu Fokus Pengesahan Lafaz Talak
Penantian penuh debaran akhirnya terjawab apabila Mahkamah Rendah Syariah Johor pada Rabu mengesahkan status perkahwinan pelawak Shuk Sahar dan isterinya, Fara Salleh.
Fara yang juga ibu kepada seorang cahaya mata, meluahkan rasa lega selepas mendapat tahu keputusan itu sekali gus membuka jalan untuknya menyelesaikan urusan pengesahan talak yang pernah dilafazkan Shuk.
“Alhamdulillah, perkahwinan kami sah. Sekarang bertahan dulu Nada (anak). Selepas ini saya akan fokus pula pada urusan perceraian,” katanya menerusi hantaran Instagram Story.
Sebelum ini, hubungan pasangan tersebut menjadi perhatian selepas Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 39, dilaporkan tidak hadir pada prosiding pertama pengesahan nikah mereka pada 10 Julai lalu.
Ketiadaan itu menimbulkan rasa kecewa Fara dengan mendakwa suaminya seolah-olah tidak mengendahkan kes berkenaan.
Fara menjelaskan permohonan pengesahan dibuat bagi melengkapkan urusan dokumen pengenalan diri anak mereka memandangkan akad nikah pasangan itu berlangsung di luar negara.
Keadaan bertambah rumit apabila Fara turut mendakwa dirinya sudah diceraikan selepas Shuk melafazkan talak ketika berada di Thailand.
Untuk rekod, Fara mendirikan rumah tangga dengan Shuk pada November 2023 di Thailand. Mereka dikurniakan seorang bayi perempuan, Elaine Nada, yang lahir pada 26 Jun lalu.