
Inul Daratista Syukur Indonesia Kembali Pulih
Penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista, 46, mengakui turut terkesan dengan situasi yang melanda negaranya baru-baru ini hingga menjejaskan beberapa urusan peribadi serta perniagaannya.
Menurut pemilik nama sebenar Ainur Rokhimah, kemelut yang berlaku sedikit sebanyak memberi kesan kepada ribuan pekerjanya yang bergantung rezeki daripada empayar perniagaan miliknya.
“Keadaan politik di Indonesia memang membuatkan saya sedih kerana ia turut menjejaskan banyak perkara termasuk perniagaan. Saya ada lebih 5,000 pekerja yang turut terkena tempias akibat demonstrasi.
“Saya sendiri tidak turun berdemo, tetapi saya ikuti rapat perkembangan semasa. Syukurlah, keadaan kini semakin pulih dan diharap semuanya kembali stabil,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia: Millenial Dangdut Nusantara.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kocok-Kocok itu melahirkan rasa simpati terhadap beberapa kenalannya dalam kalangan ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang terpalit dengan krisis berkenaan.
“Saya serba salah kerana ada antara mereka ialah kawan saya sendiri. Malangnya, ada yang sudah digantung tugas atau dipecat. Semoga ini menjadi pengajaran untuk semua pihak,” katanya lagi.
Beralih cerita kepada konsert, Inul meluahkan keterujaan dapat kembali menghiburkan peminat Malaysia selepas hampir dua dekad tidak beraksi di pentas besar tanah air ini.
Konsert istimewa itu dijadual berlangsung pada 6 Disember di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, dengan menampilkan dua bintang dangdut Malaysia iaitu Amelina dan Baby Shima sebagai rakan pentas.
“Saya sangat gembira menerima undangan ini. Kali terakhir saya berada di Malaysia pun hanya sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2019, jadi peluang kembali membuat persembahan benar-benar saya nantikan.
“Apatah lagi kali ini saya dapat berkongsi pentas bersama Amelina yang sudah lama saya kenal, serta Baby Shima yang saya anggap seperti anak sendiri. Sudah tentu saya akan hadiahkan ‘goyang gerudi’ yang menjadi tanda pengenalan saya sejak dulu,” katanya.
Tiket Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ boleh didapati di www.myticket.asia.