Industri Muzik Melayu Berduka, Yusnor Ef Meninggal Dunia

Tokoh seni dan penulis lirik tersohor Singapura, Yusnor Ef, 87, meninggal dunia di Hospital Besar Sengkang awal pagi ini.

Menurut laporan Berita Harian Singapura, pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Noreeta Mohamed Noor, 47, yang memaklumkan bapanya mengalami kesukaran bernafas sejak semalam.

Yusnor juga menghidap penyakit jantung kronik sejak lebih dua dekad lalu.

Tambah laporan itu lagi, Allahyarham akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di 99 Saraca Terrace bagi urusan jenazah dan pengebumian akan diumumkan kemudian.

Yusnor Ef, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Yusnor, dikenang sebagai penulis lirik prolifik yang mencorak landskap muzik Melayu sejak lebih 50 tahun lalu.

Allahyarham sering kali bekerjasama dengan komposer tersohor seperti P. Ramlee, Zubir Said dan Kassim Masdor dan karyanya dinyanyikan oleh bintang-bintang ternama seperti Anita Sarawak, Ahmad Jais dan Sanisah Huri.

Sebagai rekod, Allahyarham pernah menerima Anugerah Bintang Bakti Masyarakat dan Pingat Budaya– penghargaan tertinggi negara dalam bidang seni di Singapura.

Foto Berita Harian Singapura

Related post

Leave a Reply