Impian Konsert Sheila On 7 Berkecai, Ariff Bahran Dakwa RM425,000 Lesap Ditipu Penganjur
Hasrat membawa kumpulan popular Indonesia, Sheila On 7 (SO7) ke pentas tempatan berkecai apabila penyanyi Ariff Bahran mendakwa dirinya bersama beberapa rakan menjadi mangsa penipuan melibatkan wang berjumlah RM425,000.
Pemilik nama sebenar Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari berkata, konsert mega yang dirancang berlangsung pada 2024 itu gagal direalisasikan selepas pengelola acara terbabit tidak menunaikan tanggungjawab seperti dipersetujui.
Menurut Ariff, dia dan rakan-rakannya telah menyerahkan sejumlah wang sebagai penajaan dengan jaminan konsert berkenaan akan dilaksanakan, namun segalanya berakhir dengan kekecewaan.
“Penganjur berjanji untuk memulangkan semula wang tersebut, tetapi sehingga kini satu sen pun tidak diterima.
“Jumlah keseluruhan yang terlibat adalah RM425,000,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Ariff menjelaskan, pendedahan itu dibuat selepas melihat kesan besar yang terpaksa ditanggung rakan-rakannya akibat penipuan berkenaan, termasuk masalah kewangan dan tekanan peribadi.
“Seorang kawan saya baru sahaja bercerai, seorang lagi keretanya ditarik dan terpaksa menggadai emas. Ini bukan perkara kecil dan memberi kesan besar dalam hidup kami,” luahnya lagi.
Tambah Ariff, tindakannya bersuara bukan bertujuan mencari publisiti, sebaliknya berharap isu tersebut mendapat perhatian serius agar penyelesaiannya dapat dipercepatkan.
“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik supaya saya tak perlu buat pendedahan lanjut. Viral ini bukan untuk glamour, tapi untuk keadilan,” katanya.
Difahamkan, Ariff mendapatkan bantuan Caprice sebagai orang tengah bagi mewakili dirinya serta mangsa lain dalam usaha menuntut semula wang yang didakwa lesap selepas mereka bersetuju menjadi penaja konsert berkenaan.
